‘Semua benda nak bidas, bawalah bertaubat sebelum terlambat’

MENEGUR demi kebaikan, penyanyi Indah Ruhaila mengakui naik malu dengan tindakan sesetengah netizen yang terlampau lantang mengulas sesuatu perkara di laman sosial.

Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, 38, berkata, ada hantaran mahupun komen dibuat tanpa memikirkan kesan sehingga seolah-olah menolak ketentuan Tuhan.

“Malu dan takut tengok Threads dua, tiga hari ini. Sibuk kalian membidas takdir yang Allah dah tentukan.

“Semua benda nak diulas. Ada sahaja yang tak kena,” tulisnya menerusi platform Threads.

Pada masa sama, penyanyi lagu Percayalah itu turut menitipkan pesanan kepada pengguna media sosial agar lebih berhati-hati dalam penulisan.

“Jaga-jaga bila menulis dan berkata-kata. Bawa-bawalah mengucap dan bertaubat sebelum terlambat,” ujarnya.

Begitupun, Indah tidak memperincikan puncanya berkongsi hantaran berupa peringatan secara umum tersebut.

Menerusi semakan di ruangan komen, netizen mendakwa perkongsian berkenaan merujuk kepada situasi membabitkan rakan baiknya, juga penyanyi dan pelakon, Amira Othman.

Difahamkan, Amira yang bergelar isteri kepada aktor, terkenal, Fattah Amin pada 14 September lalu menjadi bahan kutukan netizen yang tidak menyukainya.

Menyedari perkongsian dibuat turut mengundang rasa tidak puas hati segelintir individu, Indah meminta mereka yang mengecam agar bertenang.

“Manusia ini kalau tak suka, semua benda nak bidas. Tenang-tenang saja dan berlapang dada,” katanya.

Terdahulu, Indah dan Amira sama-sama bersaing dalam program realiti Akademi Fantasia musim 10 pada 2013 yang turut disertai Hael Husaini serta Nabila Razali. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok