Berani mati berkali-kali ‘reject’ Salman Khan

SALMAN Khan merupakan antara pelakon filem paling popular di Bollywood.

Deretan filem lakonannya mencapai status ‘box-office’, malah pernah mendapat kutipan filem paling tinggi seperti filem Hum Apke Hain Koun (1994) dan Bajrangi Bhaijan (2015).

Setiap pelakon di Bollywood mengidamkan untuk menjadi heroin di samping aktor bertubuh sasa itu.

Namun tidak bagi dua aktres terkenal iaitu Deepika Padukone dan Kangana Ranaut. Kedua-dua diva ini pernah menolak tawaran untuk menjadi heroin Salman. Bukan sekali tetapi banyak kali.

Deepika misalnya pernah menolak untuk membintangi lima filem di samping Salman antaranya filem Prem Ratan…, Bajrangi Bhaijan, Sultan, Jai Ho dan Kick.

Ketika ditanya alasan penolakan menyahut tawaran bergandingan dengan Salman, kata Deepika dia tidak rasa dirinya sesuai untuk melibatkan diri dalam kesemua filem yang ditawarkan kepadanya itu.

Dalam masa sama, Deepika tetap menghargai semua tawaran daripada Salman dan mendedahkan bahawa aktor itu merupakan individu pertama yang menawarkan tawaran lakonan kepadanya sewaktu dia menjadi model.

“Salman ialah individu pertama yang memberi tawaran lakonan kepada saya. Tetapi ketika itu saya baru memulakan kerjaya sebagai model.

Jadi saya rasa saya belum cukup bersedia untuk menjadi seorang pelakon. Ketika itu juga saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pelakon.

“Kemudian dua tahun selepas itu saya terlibat dengan filem Om Shanti Om. Salmanlah individu pertama yang melihat potensi saya sebagai seorang pelakon,” katanya.

Lain pula kisahnya dengan aktres sensasi, Kangana Ranaut. Dia merupakan pilihan pertama untuk membintangi filem Sultan yang mengisahkan pasangan atlet sukan gusti.

Tetapi Kangana menolak mentah-mentah tawaran tersebut kerana berpegang prinsip tidak akan berlakon bersama mana-mana individu berketurunan ‘Khan’.

Menurut Kangana, dia mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu berlakon di samping aktor terkenal seperti Salman, Shah Rukh Khan dan Amir Khan serta nama besar lain.

Filem-filem yang dibintangi Shah Rukh, Salman, Amir, Akshay Kumar dan Ranbir Kapoor sebagai hero kebanyakannya tidak menonjolkan kekuatan pelakon wanita.

“Babak pelakon wanita sangat sedikit berbanding hero. Jadi saya tidak berminat untuk terlibat dalam filem yang dibintangi mereka,” katanya.

Satu-satunya hero bertaraf superstar yang pernah bergandingan dengannya adalah Hrithik Roshan. Bersama Hrithik, Kangana membintangi dua filem iaitu Kites dan Krrish 3.

Kebanyakan filem yang dibintangi Kangana mencapai kutipan box-office tanpa melibatkan hero-hero besar antaranya Fashion, Queen, Tanu Weds Manu Returns dan Manikarnika.

Dia juga sudah memenangi empat Anugerah Kebangsaan (National Award) menerusi lakonannya dalam filem Fashion, Queen, Tanu Weds Manu Returns dan Manikarnika. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok