Nourul Depp simpati nasib mangsa banjir di Bali

TURUT bersedih atas bencana banjir kilat yang melanda Bali, penyanyi Nourul Depp bagaimanapun bersyukur apabila kediamannya bersama keluarga di pulau peranginan terkenal Indonesia tidak terjejas.

Pemilik nama penuh Noorulhuda Abdul Wahab, 48, itu berkata, aktiviti hariannya masih berjalan seperti biasa namun tetap bersimpati dengan kawasan yang terjejas akibat banjir tersebut.

“Terima kasih yang bertanya tentang keadaan kami di Bali.

“Alhamdulillah, sekolah dan kami juga tidak terjejas di kawasan ini.

“Walau bagaimanapun kami sedih dengan keluarga-keluarga di Bali yang terjejas terutama di Denpasar dan juga kawasan-kawasan dilanda banjir kilat,” katanya dalam Instagram hari ini.

Dalam masa sama, dia juga terbuka untuk menerima sebarang bantuan bagi dihulurkan kepada mangsa banjir kilat di kawasan yang terjejas.

“Untuk semua rakyat Malaysia yang ingin membantu orang Bali, bolehlah menghulurkan bantuan.

“Kalian perlu cari pihak-pihak yang terlibat bukan orang perseorangan.

“Ada juga untuk haiwan dan bantuan kemanusiaan. Boleh maklumkan kepada saya juga sebab sekolah kami juga sedang kumpulkan bantuan untuk membantu orang-orang Bali,” jelasnya.

Terdahulu, lima daerah di Bali serta ibu negerinya, Denpasar dilanda banjir sejak Selasa lalu sehingga memaksa hampir 200 orang dipindahkan.

Banjir kilat yang melanda pusat tumpuan pelancongan Bali juga menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dan enam lagi hilang, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) semalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok