PELAKON Abby Abadi menegaskan kelantangannya tentang perkahwinan Marissa Dania dengan Ahmad Aslam dalam media sosial sejak semalam adalah disebabkan mahu menyelamatkan anaknya itu yang dikatakan terjerat dalam hubungan toksik.
Abby atau nama asalnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkata, sebelum ini dia membiarkan Marissa merasai sendiri pahit manis rumah tangga yang dibina sejak dua tahun lalu.
“Dah dua tahun saya biarkan cerita ini berlalu. Saya biar anak saya merasa sendiri pahit dan manis jalan yang dia pilih.
Saya biarkan pihak lelaki (Aslam) buat apa saja sebab katanya dia ada hak sebagai suami. Tidak mengapalah, hilang hak sebagai ibu sebab ikutkan kehendak anak.
“Tapi yang saya kemas kini nak selamatkan anak saya dari hubungan toksik itu hal baru.
Dua tahun berlalu, pada saya cukup lama untuk membiarkan anak saya terus berada dalam hubungan yang menyusahkan diri dia dan membuatkan dia memendam rasa,” katanya dalam Threads.
Kongsi anggota kumpulan Elite itu lagi, dia enggan menuding jari kepada mana-mana pihak dalam kemelut rumah tangga anaknya, sebaliknya hanya mahu Marissa sedar bahawa sokongan sebenar datang daripada ibunya sendiri.
“Saya tak kaitkan orang lain, jadi tidak perlu sebut-sebut orang itu orang ini.
Untuk situasi ini, Marissa Dania cuma ada mamanya saja. Kena tahu itu.
“Dia pun tak tahu. Apa-apa pun terima kasih adik-adik, kakak-kakak, ‘acik-acik (mak cik) yang bersama saya. Yang memahami kenapa tindakan saya sebagai seorang ibu,” jelasnya.
Abby turut berharap agar orang ramai tidak menilai tindakannya secara negatif sebaliknya mendoakan yang terbaik buat puterinya itu.
Semoga Allah izinkan segalanya difahami suatu hari nanti.
“Berkongsi bukan untuk dikeji, untuk minta doa. Doakan supaya keadaan ini terlerai.
Semoga dapat dihentikan segala caci maki dari mereka yang rasa sempurna,” luahnya.
Sebelum ini, Abby mendoakan agar Marissa segera keluar daripada perhubungan toksik.
Baru-baru ini, dia berkongsi tangkap layar komen netizen meminta Marissa meninggalkan kehidupan poligami seterusnya memulakan perjalanan hidup baharu.
Ada juga berpendapat Marissa yang baru berusia 20 tahun dilahirkan sempurna dengan rupa paras cantik, sekali gus layak memiliki kehidupan lebih baik berbanding memegang gelaran isteri nombor dua.
Dalam masa sama, Abby turut membalas dan bersetuju dengan komen netizen yang meminta Marissa mengundur diri dengan mencari jodoh lain berstatus golongan kenamaan, selain membiarkan menantunya bahagia bersama isteri pertama dan tiga anak mereka.
Terdahulu, Marissa selamat bergelar isteri kedua kepada Ahmad Aslam selepas mereka berkahwin di di Songkla, Thailand pada Disember 2023.
Ketika itu, lelaki terbabit sudah memiliki seorang isteri, Umisya dan tiga cahaya mata. – HIBGLAM