DUA tahun menyulam cinta, penyanyi popular Taylor Swift akhirnya sah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya iaitu pemain bola sepak Amerika (American football), Travis Kelce.
Khabar gembira tersebut diumumkan sendiri pemilik nama lengkap Taylor Alison Swift, 36, dalam Instagramnya dengan kapsyen manis menggelarkan mereka sebagai guru.
Cikgu Bahasa Inggeris dan cikgu Pendidikan Jasmani sudah mahu berkahwin,” tulisnya.
Dalam hantaran tersebut, pelantun lagu Love Story itu memuat naik beberapa foto sekitar majlis lamaran di sebuah taman.
Pasangan itu tampil sedondon mengenakan busana rona biru, sementara Travis dilihat melutut sebelum menyarungkan sebentuk cincin pertunangan ke jari Swift.
Difahamkan, cincin pertunangan berkenaan merupakan rekaan khas Travis sendiri dengan bantuan pereka barang kemas terkenal, Kindred Lubeck.
Cincin tersebut dianggarkan bernilai antara USD125,000 hingga USD5 juta (sekitar RM527,800-RM21 juta), bergantung nilai penilaian berlian.
Bagaimanapun, menurut sebuah laporan media antarabangsa, majlis lamaran tersebut sebenarnya berlangsung beberapa minggu lebih awal daripada pengumuman rasmi.
Sebelum ini, Taylor dan Travis dilaporkan menjalin hubungan cinta sejak September 2023 selepas berpisah dengan pelakon Joe Alwyn. – HIBGLAM