Zainal Abidin, Headwind bersatu di Istana Budaya

KEHADIRAN penghibur terkenal, Datuk Zainal Abidin ke Studio Media Mulia baru-baru ini bukan dengan tangan kosong.

Dia bawa bersama berita gembira bakal muncul dengan sebuah konsert berjudul Zainal Abidin Tiba Masa Live In Concert 2023 yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur selama dua hari bermula 29 September depan.

Kongsinya yang sudah empat dekad mencipta nama di pentas seni, selain mengubat kerinduan peminat, konsert tersebut dipadatkan dengan sebuah jalan cerita perjalanan kariernya yang merangkumi puluhan lagu popular miliknya.

“Konsert ini sangat istimewa dan hadiah untuk peminat setia dan artis muda.

“Saya sangat harap mereka hadir kerana banyak ilmu yang akan saya taburkan selain ingin berkongsi pengalaman selama 40 tahun dalam industri muzik,” ujarnya.

Berkongsi pengisian konsert, bekas vokalis kumpulan Headwind itu menjanjikan akan tampil dengan beberapa elemen kejutan.

“Konsert ini tiada gimik, tetapi penuh dengan elemen kejutan. Istimewanya ialah kumpulan Headwind akan muncul dalam segmen pembukaan.

“Banyak lagu hit bersama Headwind akan dinyanyikan pada malam istimewa itu nanti termasuk karya dalam album solo terdahulu seperti Zainal Abidin, Gamal, Terang…Sang dan Puteri.

“Kemudian, saya akan persembahkan segmen sempena kemunculan single Tiba Masa yang juga kesinambungan kepada lagu Hijau,” katanya yang akan mendendangkan sebuah lagi single baharu pada malam tersebut.

Dipersembahkan BSync Live dan X-FWD Management, tiket konsert tersebut yang bermula pada harga RM169 hingga RM865 boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok