PELAKON Hariz Hamdan mendedahkan dia telah mendapat kebenaran aktres Datin Nelydia Senrose sebelum memuat naik video menaiki kereta kabel di media sosial.
Menurut Hariz, 23, video tersebut dirakam pada minggu terakhir penggambaran drama Seindah Hujan Cinta dan dia terlebih dahulu memohon kebenaran Nelydia kerana menghormati status pelakon itu yang sudah berumah tangga.
Sebelum memuat naik video tersebut di sosial media memang saya ada hubungi Nelydia. Saya menghormati statusnya sebagai isteri orang dan tanya adakah boleh kongsikan video itu. Dia kata tiada masalah,” ujar Hariz.
Namun, Hariz tidak menyangka niatnya sekadar untuk berkongsi detik lucu ketika penggambaran di Pulau Langkawi telah menimbulkan rasa kurang senang orang ramai sehingga tular.
“Tak sangka akan jadi kecoh, sejujurnya tiada sedikit pun niat nak cetuskan kontroversi. Saya hanya mahu kongsi detik melucukan, tidak lebih daripada itu,” kata Hariz.
Dalam pada itu, Hariz turut menegaskan hubungannya dengan Nelydia tidak lebih sebagai rakan sekerja dan boleh dianggap seperti kakak dan adik.
Kami memang rapat selepas meluangkan masa bersama di set penggambaran. Video dalam kereta kabel itu diambil ketika minggu terakhir penggambaran. Saya menghormatinya macam kakak sendiri,” luah Hariz.
Namun begitu, Hariz mengakui khilafnya tidak berfikir panjang sebelum memuat naik video tersebut sehingga mencetuskan rasa tidak selesa sesetengah pihak.
Justeru, Hariz berjanji akan lebih berhati-hati dengan segala tindakannya pada masa depan.
“Walaupun niat saya sekadar berkongsi momen lucu, mungkin ada pihak yang salah tafsir. Saya tidak salahkan mereka.
Saya ingin memohon kemaafaan sekiranya ada pihak terasa atau kurang senang dengan video tersebut.
“Ini adalah pengajaran untuk saya supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” kata Hariz yang ditemui pada majlis pelancaran Asics Garden of Motion di pusat beli-belah TRX Exchange baru-baru ini.
Terdahulu, Hariz yang juga duta Asics Malaysia telah memuat permohonan maaf secara terbuka selepas tular video memaparkan Nelydia tanpa sengaja memeluk lengannya ketika mereka menaiki kereta kabel di Langkawi. – HIBGLAM