PENYANYI Atilia Haron teruja akhirnya dapat menyanyikan lagu sendiri di Konsert Gelombang Bahagiaku yang berlangsung di Plenary Theatre KLCC, semalam.
Menurut Atilia atau nama sebenarnya, Raja Puteri Atilia Raja Haron, 51, selama ini dia sering menyanyikan lagu penyanyi lain setiap kali membuat persembahan korporat.
“Saya ada 40 lagu tapi ramai orang tak tahu. Setiap kali saya buat persembahan korporat, saya menyanyi lagu penyanyi lain.
“Tetapi hari ini (semalam), saya sangat gembira kerana akhirnya dapat menyanyi lagu-lagu saya sendiri,” katanya sambil dibalas dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.
Tambah Atilia lagi, dia turut berbesar hati dapat berkongsi pentas dengan ibunya, Salamiah Hassan.
“Saya membesar sambil melihat bagaimana mama bekerja. Saya selalu ikut dia pergi kerja waktu kecil dulu.
“Kami naik bas pergi ke hotel. Sehari mama menyanyi di empat hotel. Mama hanya ada dua baju.
“Waktu dulu saya selalu makan sedap-sedap di hotel. Rupa-rupanya mama korbankan baucar makanannya untuk saya. Biar dia tak makan tapi anaknya perut terisi. Begitulah pengorbanan mama untuk besarkan kami,” kongsinya.
Pada konsert anjuran Mujik Wand Production Itu, Atilia menyampaikan lebih 10 lagu antaranya Salah Sangka, Sangkar, Bodoh , Selagi dan lagu duet Kekanda Adinda bersama Loque.
Turut diperdengarkan pertama kali adalah lagu duet baharu bersama ibunya berjudul Age Is Just A Number.
Salamiah pula menghiburkan peminatnya dengan rangkaian lagu Menghitung Hari, Gelombang, Miang Miang Keladi dan Semut Semut Di Titian Usang. – HIBGLAM.