Bilal, Pamungkas, Fugo sedia tawan Zepp KL

PENCINTA muzik tanah air bakal menikmati variasi irama menerusi persembahan dua penyanyi solo dari seberang, Bilal Indrajaya dan Pamungkas pada konsert Panggung Purnama yang akan berlangsung di Zepp KL pada 23 September depan.

Tidak cukup dengan itu, band meningkat naik tempatan Fugo turut melengkapkan konsert anjuran Udara Laskhar itu.

Menurut wakil penganjurnya, John Lavu, pihaknya menjanjikan bakal menghadiahkan pembeli tiketnya sebuah pengalaman berbeza yang belum pernah ditampilkan dalam penganjuran persembahan sebelumnya.

“Kami di Udara Laskhar begitu teruja mengumumkan Pamungkas dan Fugo sebagai artis kedua dan ketiga untuk Panggung Purnama.

“Kami yakin dengan pemilihan Pamungkas dan Fugo untuk membuatkan para peminat teruja menikmati lagu-lagu mereka secara langsung di konsert itu kelak.

“Kami realisasikan mimpi dan permintaan peminat menerusi penampilan sulung Pamungkas dan Fugo bergabung dengan Bilal di pentas acara itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas John, ketiga-tiga pemuzik yang dipilih menepati kriteria Panggung Purnama kerana konsep konsert yang telah difikirkan sejak sekian lama.

“Kami yakin Pamungkas, Fugo dan Bilal akan meninggalkan impak tersendiri di Panggung Purnama.

“Semoga konsert itu nanti akan membawa satu pengalaman luar biasa dan momen indah buat yang hadir,” ujarnya

Orang ramai boleh mendapatkan tiket konsert Panggung Purnama pada harga serendah RM179 bagi kategori Bintang, Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399) menerusi laman web www.ilassotickets.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok