Terjaga hotel bergoyang, Heliza Helmi mohon doa orang ramai

“Saya tiba-tiba terjaga daripada lena sebab tempat penginapan kami bergoyang dengan kuat.

Demikian perkongsian penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi mengenai detik cemas dilaluinya berikutan gempa bumi yang berlaku di Kalimatan Selatan, Indonesia, awal pagi tadi.

Katanya yang menginap di sebuah hotel di Tanah Bumbu, Kalimantan, dia terjaga daripada tidur selepas merasai gegaran kuat hingga pintu bilik bergoyang.

“Tiba-tiba bingung, tak tahu apa yang berlaku tetapi hotel bergoyang kiri dan kanan.

“Agak lama sebab pintu pun berbunyi,” katanya menerusi perkongsian di Instagram, pagi tadi.

Dalam keadaan kelam kabut, pemilik nama sebenar Nur Heliza Helmi, 37, itu sempat mendapatkan makluman daripada pengurusan hotel.

“Perkara pertama yang saya capai adalah jubah untuk tutup aurat dengan sempurna sebab kita tak tahu apa yang berlaku.

“Hubungi pihak hotel, mereka kata ada gempa bumi. Selepas beberapa minit buat carian di internet, sahih gempa bumi,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Ayat Cinta Dari Tuhan itu meminta orang ramai mendoakan keadaan di sana kembali seperti sedia kala.

“Doakan semuanya selamat di sini. Setakat ini Alhamdulillah,” kongsinya lagi.

 

Pemergian Heliza ke wilayah tenggara Pulau Kalimantan itu ditemani suaminya yang juga ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.

Selain kesan gegaran Kalimantan Selatan, Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean Seismological Centre (EMSC) melaporkan gempa bumi kuat berukuran 7 pada skala Richter melanda kawasan laut dalam ke utara pulau Bali dan Lombok.

Pusat gegaran ialah 203 kilometer (km) ke utara Mataram, Indonesia, dan sangat dalam iaitu 516km di bawah permukaan bumi, namun Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) menyatakan tiada laporan kerosakan diterima setakat ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok