‘Jangan bagi kenyataan aneh hanya sebab nak glamor’

DIDAKWA lepas tangan daripada menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, pelakon Beego menggesa isterinya, Linda Hasim agar berhenti mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung soal nafkah.

Pada masa sama, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, turut memberi bayangan tidak pernah culas dalam memberikan nafkah kepada keluarganya.

“Janganlah buat kenyataan aneh-aneh hanya sebab nak glamor. Tak tahu apa niat sebenarnya.

Tidak beri maksud langsung tak bagi. Culas maknanya beri tapi tak konsisten.

“Bagi pula adalah setiap bulan beri,” katanya dalam hantaran Facebook.

Selain itu, pelakon filem Gila- Gila Pengantin Remaja itu turut berharap Linda yang masih isterinya menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.

“Kalau isteri baliklah ke pangkuan suami dan mana boleh keluar rumah sembilan bulan tanpa izin.

Kalau isteri kenapa suami tak pernah dapat berkomunikasi? Kenapa suami kena sekat dalam semua medium kecuali Facebook. Itu pun tak berbalas soalan dan pertanyaan khabar.

“Kalau betul isteri yang sah, mana tanggungjawab awak sebagai isteri? Akhir kata, isteri tak akan abaikan suami dia,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, Beego masih membuka ruang untuk berdamai dan memulihkan hubungan demi anak-anak serta menghargai jasa serta pengorbanan Linda sebagai isterinya.

Saya tetap terbuka untuk memohon maaf, memaafkan dan ingin mempertahankan demi membalas kebaikan dia serta menjaga dia serta anak-anak.

“Kalau tak nak, kita faham tapi tidak perlu buat macam ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Linda mendakwa Beego bersikap lepas tangan daripada menunaikan tanggungjawab terhadap darah daging sendiri.

Katanya, berlaku pengabaian apabila seorang bapa hanya mementingkan diri dengan tidak memberi nafkah kepada keluarga terutama makan minum anak-anak.

Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, berkahwin dengan Beego pada 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, serta Indah Camelia, 6.

Kemelut rumah tangga mereka menjadi perhatian apabila Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.

Sebelum itu, pada 27 Mac 2023, pasangan ini pernah bercerai talak satu sebelum sepakat kembali rujuk pada 9 April 2023.

Linda bagaimanapun mendedahkan mereka kemudian bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok