PELAKON Firdaus Ghufran mendedahkan dia pernah dibuli lapan individu termasuk seorang pelakon popular sewaktu menjalani penggambaran di Sarawak tahun lalu.
Menurut Firdaus atau nama lengkapnya Muhammad Firdaus Ghani Ghufran, 22, dia sudah lama mengenali pelakon tersebut kerana mereka berdua pernah sama-sama menjadi pelakon kanak-kanak.
“Punca pergaduhan mungkin disebabkan saya tersalah cakap. Tetapi sebagai seorang yang sudah saling mengenali sejak kecil, saya tidak sangka dia akan bertindak menggunakan kekerasan.
Dia siap cakap nak letak pistol atas kepala saya. Dia juga ugut nak bunuh mak dan adik saya. Ini sangat bahaya dan dikira sebagai jenayah. Dia ada pistol ke?
“Dia fikir diri dia siapa? Adakah kau seorang anggota polis? Kau ada lesen untuk memiliki senjata api?,” katanya ketika ditemui di sidang media Asia Championship 2025 baru-baru ini.
Tambah pelakon drama Budak Tebing itu lagi, dia sudah membuat laporan polis namun tiada tindakan susulan.
Kemelut antara dua pelakon itu berlarutan selepas kedua-dua mereka bakal terlibat dalam pertandingan tinju Asia Championship 2025 yang akan berlangsung pada 18 Oktober depan.
Pelakon itu telah mendedahkan tujuan dia menyertai pertandingan tinju berkenaan demi menyelesaikan sengketa di dalam gelanggang selepas dicabar secara dalam talian oleh Firdaus.
Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk berdepan dengan pelakon tersebut dalam gelanggang, kata Firdaus yang juga abang kepada Muntazar Ghufran itu, dia tidak pernah gentar.
“Saya sangat bersedia. I am well prepared and I always win. Saya berjuang untuk hak saya,” tegasnya.
Terdahulu seorang pelakon yang juga suami kepada aktres popular mendedahkan tujuan dia menyertai pertandingan tinju Asia Championship 2025 adalah kerana ingin menebus maruahnya yang tercalar apabila isterinya dihina di dalam sesi siaran langsung seorang pelakon. – HIBGLAM