ACARA yang ditunggu-tunggu, Festival Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan diadakan pada 28 Jun hingga 6 Julai 2025 bertempat di Kampus, ASWARA.
Festival PeTA adalah medan mempamer bakat dan kreativiti pelajar jurusan seni persembahan. Festival PeTA 2025 akan diserikan dengan majlis pelancaran pengolahan artistik yang menampilkan identiti seni pelajar ASWARA dalam bentuk segar dan kontemporari.
Menurut Dekan Fakulti Tari yang juga bertindak selaku penyelaras Festival PeTA 2025, Dr. Norsafini Jaafar festival ini menghimpunkan keseluruhan karya pelajar-pelajar tahun akhir dalam pengkhususan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dari pelbagai fakulti antaranya Tari, Muzik, Teater, Seni Halus, Penulisan Kreatif dan Filem, Animasi, Pengurusan Seni dan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA).
“Ini bukan sahaja menjadi medan penilaian akademik, tetapi juga platform terbuka bagi masyarakat awam dan pihak industri untuk menyaksikan bakat baharu dalam pelbagai bidang seni yang terdapat dalam pengajian yang ditawarkan di ASWARA.
Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang festival ini berlangsung dan antara tarikan utama ialah Hari Terbuka ASWARA pada 28 Jun bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, di Dewan Orkestra. ASWARA yang dibuka kepada umum.
“Turut diadakan, Majlis Pelancaran Festival PeTA pada 28 Jun di Dewan Orkestra, ASWARA yang akan disempurnakan oleh Rektor ASWARA, Profesor Dr. Tan Awang Besar, Rektor,” katanya.
Pada masa sama, Norsafini turut memaklumkan pengunjung dapat melihat karya-karya kreatif daripada pelajar ASWARA sepanjang festival berlangsung.
Malah, majlis pelancaran akan menampilkan gabungan seni tari, teater dan muzik secara eksklusif di bawah arahan artistik Che Kem, tokoh teater dan seni pentas tersohor negara.
Persembahan pelancaran ini dijangka menjadi tumpuan utama media dan khalayak kerana pengolahan artistik yang menampilkan identiti seni pelajar ASWARA dalam bentuk segar dan kontemporari.
“Acara lainnya, Persembahan Seni membabitkan karya pelajar Fakulti Tari, Teater, Muzik dan Penulisan Kreatif & Filem. Setiap karya menampilkan kreativiti dalam bentuk pentas dan persembahan langsung.
“Juga Pameran & Tayangan, menampilkan hasil seni visual dan digital daripada Fakulti Seni Halus, Animasi dan Penulisan Kreatif & Filem. Pengunjung boleh menikmati karya dua dimensi, tiga dimensi, animasi dan filem pendek,” katanya lagi.
Menerusi Siri Bengkel Seni pula, setiap fakulti menganjurkan satu bengkel terbuka dengan durasi dua jam yang memberi peluang pembelajaran secara langsung kepada peserta awam dan pelajar.
“Festival ini bukan hanya mengetengahkan bakat pelajar malahan memberi impak kepada industri kreatif negara dengan melahirkan bakat-bakat baharu yang mengangkat seni persembahan ke peringkat yang lebih tinggi selaras dengan ASWARA sebagai institusi seni terkemuka di Malaysia dan dikategorikan sebagai pusat pendidikan bertauliah yang diktiraf oleh Agensi Kelayakan Akademik (MQA).
Ini adalah medan penting buat pelajar ASWARA dalam mempamerkan karya selepas bertahun-tahun mengikuti pengajian sama ada di peringkat pengajian diploma mahupun ijazah sarjana muda.
“Ini adalah saat penting dan penentuan yang mempamerkan kreadibiliti para pelajar melalui penilaian projek akhir dengan disaksikan penonton yang hadir sepanjang festival berlangsung,” katanya.
Bukan hanya itu, Norsafini turut memberitahu PeTA bukan platform menilai keupayaan teknikal dan artistik pelajar, tetapi juga sebagai cerminan suara generasi baharu terhadap isu-isu semasa dan budaya masyarakat.
“ASWARA menjemput kesemua penggiat seni, institusi pendidkan dan masyarakat umum untuk hadir menyokong karya-karya pelapis baharu dalam industri kreatif ini,” ujarnya.
ASWARA berharap dapat terus menyemarakkan kecintaan terhadap seni dan memperluaskan apresiasi budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai Festival PeTA 2025 ini, boleh diikuti di laman sosial Instagram @aswara_official, Facebook @aswara.edu dan TikTok @aswara.official. -HIBGLAM