BARISAN artis seperti Bella Astillah, Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad dan Cat Farish bakal bersatu pentas bukan untuk drama atau nyanyian, tetapi demi misi hijau menyokong pelancaran motosikal elektrik dalam inisiatif revolusi gaya hidup lestari oleh GGR Motor.
Menerusi acara yang dijadual berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada 28 Jun ini, selebriti popular tanah air akan menjadi wajah utama menyemarakkan sambutan pelancaran motosikal elektrik LionG1 dalam kempen dikenali sebagai Go Green Revolution.
Lebih istimewa, Johan turut dilamar sebagai antara rakan kolaborasi strategik GGR Motor untuk membuka cawangan kedai selepas pelancaran, seiring jenamanya dalam dunia perniagaan makanan, Itik ke Ayam?.
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, pemilihan artis bukan sekadar untuk memeriahkan suasana, sebaliknya membawa nilai dan pengaruh positif terhadap usaha menjayakan mobiliti hijau dalam kalangan rakyat.
“Mereka bukan sekadar selebriti, tetapi sahabat lama saya. Saya percaya apabila artis sendiri menaiki motosikal elektrik mereka mampu memberi impak lebih besar dari segi kesedaran masyarakat.
“Sebab itu saya jemput nama-nama seperti Johan, Nabil, Ajak Shiro dan Cat Farish, yang bukan asing lagi kepada peminat,” katanya.
Tambah Musaddiq, antara wajah yang akan mencuri perhatian termasuklah Bella Astillah, pelakon dan penyanyi sensasi yang pernah menerima hadiah skuter elektrik daripada GGR Motor dalam satu kolaborasi dua tahun lalu.
“Waktu itu, nama Bella tengah hangat dan secara tidak langsung, produk kami tumpang popular.
“Tapi lebih daripada itu, kami ingin melihat perubahan budaya . menjadikan mobiliti hijau sebagai gaya hidup harian,” jelasnya.
Tambah menarik, konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang berlangsung 26 dan 27 Julai ini di Sepang bakal menyaksikan penonton bertuah menerima dua unit LionG1 bernilai RM2,054 sebagai hadiah penajaan daripada GGR Motor.
Malam pelancaran nanti bukan sekadar tentang teknologi, tetapi dijanjikan dengan persembahan komuniti, sesi test ride, cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama artis, termasuk gimik khas yang bakal menghangatkan pentas.
Antara nama lain yang dijangka hadir termasuk pelakon versatil Farid Kamil, Ajak Shiro dan Zizan Razak, sekali gus menjadikan acara ini medan bertemu selebriti kegemaran dalam suasana berilhamkan gaya hidup hijau masa depan.
Sebagai simbolik ke arah kelestarian jangka panjang, GGR Motor turut mengumumkan hasrat menjemput Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi merasmikan produk tempatan ini yang berakar daripada inovasi anak muda lepasan TVET MARA. – HIBGLAM.