‘Sejak dapat banyak bunga, darah Kak Ya makin elok’

TIDAK berselindung menzahirkan rasa hormat terhadap pelakon Fattah Amin, penyanyi Irfan Haris menyifatkan figura lelaki berkenaan sebagai contoh sebenar lelaki sejati dan penuh adab.

Menerusi siaran langsung dalam TikTok, Irfan atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman, 24, secara bersahaja memuji Fattah yang dianggapnya sebagai sumber inspirasi, malah meletakkan aktor itu sebagai ‘Abang Long’ kesayangan.

“Abang Long (Fattah Amin) saya nombor satu di hati saya. Dia sangat gentleman (budiman). Saya hormat Abang Long,” katanya.

Dalam siaran sama, Irfan turut berkongsi perkembangan kesihatan kakaknya, Amira Othman, yang kini beransur pulih selepas dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan.

Lebih menghiburkan, pelantun Pesan itu sempat berseloroh mengatakan bunga-bunga yang diterima Amira terutamanya daripada Fattah, banyak membantu proses pemulihan kakaknya.

“Kak Ya (panggilan untuk Amira) sejak dapat banyak bunga ni, darah dia makin elok.

“Ada satu meja memang penuh bunga. Cantik, tersusun rapi.

“Kakak saya siap siram bunga tu guna spray. Sayang betul dia,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen teruja melihat keakraban duda anak satu itu dengan keluarga Amira sehingga ada yang membuat andaian bahawa hubungan mereka mungkin sudah ke fasa lebih serius.

“Fattah Amin bakal abang ipar Irfan ke ni? Suka betul dia dengan Fattah, harap-harap jadilah hubungan mereka,” tulis pengguna TikTok.

“Patutlah Irfan puji lebih-lebih, dah restu awal-awal nampaknya,” komen netizen.

“Kalau jadi betul, memang pasangan paling sweet satu Malaysia, terpelanting lah yang lain,” kata peminat.

Terdahulu, Fattah memuat naik foto Amira terlantar di hospital sambil memegang sejambak bunga tulip yang dihadiahkannya.

Keesokan harinya, Amira menerima pula jambangan mawar merah jambu dan ungu daripada aktor berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, pelakon Suri Hati Mr Pilot itu turut meminta cadangan warna bunga seterusnya yang sesuai diberikan kepada Amira, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok