APABILA penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa mengumumkan bakal mengadakan konsert Rossa Here I Am di Kuala Lumpur, penulis antara yang turut sama teruja.
Pernah menghadiri dua konsert Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46, di Kuala Lumpur, namun kedua-duanya berlainan lokasi.
Yang pertama di Plenary Hall KLCC pada 2022 dan kedua di Zepp Kuala Lumpur (2023). Jadi pastinya rasa teruja untuk menonton penyanyi kesayangan ramai ini beraksi di lokasi lebih besar di Axiata cukup menderas adrenalin.

PESONA Rossa selaku diva lagu cinta tidak pernah pudar.
Melihatkan Rossa mempunyai portfolio yang cukup cermat dalam penganjuran konsert, tertanya-tanya apa lagi yang akan dihadiahkan penyanyi bertubuh genit itu kali ini.
Konsert Rossa berlangsung di pertengahan antara konsert Melly Goeslaw dan Kris Dayanti. Kedua-dua diva tersebut merupakan sahabat baiknya.
Pernah penulis bertanya kepada Rossa sewaktu kunjungannya ke Kuala Lumpur tempoh hari, tidaklah dia gusar peminat akan berbelah bahagi tiket konsert siapa yang perlu dibeli.
Tegasnya, dia tidak risau kerana percaya dengan peminatnya di Malaysia selain saling mendukung dua temannya itu.
Mereka bahkan berjanji untuk datang ke konsert masing-masing. Buktinya Rossa hadir ke konsert Melly, dan Melly juga hadir ke konsert Rossa.
Pada malam itu, konsert dibuka dengan persembahan intro yang penuh dramatik. Rossa muncul dari bawah pentas mengalunkan lagu Tegar yang merupakan lagu salam perkenalannya buat peminat di Malaysia lebih 20 tahun lalu.
Dia kelihatan seperti pari-pari dalam balutan busana berwarna putih berkelopak besar ditemani penari-penari yang membawa kelopak bunga bersaiz gergasi. Soal busana, usah gusar. Rossa sentiasa memukau. Kali ini, sahaja Rossa menukar enam busana.
Mungkin sebab itu juga dia mengundang ramai penyanyi sebagai penyanyi jemputan antaranya Ariel Noah, Ernie Zakri, Hael Husaini, MK K-Clique, Mary Grace, Zazleen, Kai Deva dan kumpulan The Ladies.
“15 tahun yang lalu saya pernah membuat konsert di sini. Kali ini saya datang lagi. Banyak sekali cerita yang berlaku di dalam hidup saya. Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Nak menangis pula rasanya. Tetapi hari ini (hari konsert) saya tidak mahu kita semua menangis. Saya mahu kita semua gembira,” kata Rossa membuka bicara.
Vokal dan persembahan Rossa tidak perlu dipertikaikan lagi. Seluruh ruang Axiata terpukau dengan kemerduan serta gemersik suara penyanyi yang berasal dari Sumedang, Jawa Barat, itu.
Antara lagu-lagu popular yang didendangkannya secara solo adalah Wanita Yang Kau Pilih, Hati Yang Kau Sakiti, Atas Nama Cinta, Ayat Ayat Cinta dan Lupakan Cinta.
Istimewa konsert ini apabila Rossa memilih untuk berduet dengan penyanyi-penyanyi undangannya. Bukan sahaja berduet lagunya, tetapi dia juga mendendangkan lagu artis undangannya.
Duet
Antara yang paling mencuri tumpuan tentunya duetnya bersama Ariel Noah menyanyikan lagu Nada Nada Cinta. Ariel pula menyanyikan lagu Tegar yang digubah semula mengikut kesesuaian vokalnya. Gegak gempita seluruh Axiata dibuatnya tatkala Ariel muncul di atas pentas.

ARIEL (kiri) turut ‘turun padang’ bertemu peminat Malaysia ketika konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Namun tidak bermakna artis undangan dari Malaysia ‘simpan kuku’. Ernie Zakri misalnya berjaya memukau seluruh Axiata Arena dengan kemantapan vokalnya tatkala mengalunkan lagu Hijrah Cinta secara solo.
Kemudian dia sekali lagi memberikan persembahan yang hebat menerusi duet mash-up lagu Masing-Masing dan Aku Bukan Untukmu bersama Rossa.
Duet bersama Hael Husaini pula antara yang paling meriah. Rossa memilih menyanyikan lagu raya Meriah Lain Macam bersama Hael. Namun liriknya ditukar sedikit mengikut kesesuaian.

ROSSA bersama penyanyi Hael Husaini (kiri) ketika mendendangkan lagu raya popular, Meriah Lain Macam yang disesuaikan dengan keadaan semasa.
Sebagai menghargai sahabat baiknya di sini iaitu Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rossa menyanyikan beberapa lagu popular penyanyi nombor satu Malaysia itu dalam segmen tribute dengan seleksi Percayalah, Bukan Cinta Biasa dan Biarlah Rahsia.
Lebih manis, apabila Siti membuat kejutan menyanyikan beberapa rangkap lagu Percayalah dari tempat duduknya bagi membalas budi dedikasi Rossa buatnya.
“Terima kasih Datuk Seri Siti sudah hadir ke konsert aku. Makin cantik kamu, pasti kerana Datuk K pandai jaga. Wanita akan cantik kalau dia bahagia,” kata Rossa bercanda sambil memaku janji akan ke konsert Siti di Genting Highland tidak lama lagi.
Konsert pada malam itu ditutup dengan untaian lagu rancak popularnya seperti Pudar dan Hey Ladies yang disampaikan penuh bertenaga.
Jumlah 8,000 penonton yang hadir membuktikan aura Rossa masih belum pudar dan antara diva terulung Indonesia. Peminat-peminatnya tetap tegar dan sentiasa menyokongnya biarpun hampir saban tahun ada sahaja kelibat Rossa ke Malaysia mengadakan persembahan. – HIBGLAM