‘Lubuk biji timah’ – Bukit Fraser diperakui orang putih

BELUM pun ditayangkan di pawagam tempatan, filem Misteri Fraser 1910 sudah diiktiraf orang luar apabila berada dalam kategori Pembikin Filem Pertama Terbaik pada LiZ Off Global Network Sessions Vol. 4  di Pinewood Studio, United Kingdom.

Filem biopik sejarah mengenai Louis James Fraser atau Mr. Fraser selaku individu peneroka kepada pusat peranginan popular Bukit Fraser atau Fraser Hill di Raub, Pahang itu layak sebaris dengan 26 filem dari negara lain.

Di sebalik nama gah sebagai pusat pelancongan tanah tinggi, Bukit Fraser menyimpan pelbagai kisah misteri termasuk kehilangan peneroka berbangsa Scotland itu secara tiba-tiba pada 1910.

Diterima juri antarabangsa

Nyata kisah misteri berkenaan bukan sekadar memberi ilham kepada syarikat produksi Millionaire Film Production untuk menterjemah ke layar lebar, malah membawa naskhah tersebut untuk dikongsi bersama khalayak antarabangsa.

Penerbitnya, Amai Kamaruddin berkata, walaupun pada awalnya mereka mahu menerbitkan sebuah genre dan cerita lain, apabila sampai di lokasi untuk membuat kaji selidik, kisah kehilangan Mr. Fraser yang turut menyelitkan sejarah lebih ‘menangkap’ perhatian.

“Ketika di situ kami terbaca sejarah Mr. Fraser yang hilang secara misteri selepas menemui lubuk biji timah dan langsung tidak ditemui. 

“Malah, ada beberapa laluan mendaki di situ turut dinamakan sempena orang yang terlibat dalam pencarian seperti Bishop Trail dan Abu Suradi Trail.

“Perkara itu mencetuskan ilham kepada saya untuk terus mengkaji dan mencipta teori fiksyen kehilangan peneroka berkenaan sehinggalah terhasilnya filem ini,” katanya ketika sesi fotografi bersama HibGlam, baru-baru ini.

Kehilangan Mr. Fraser pada 1910 di sebuah kawasan hutan mencetuskan tanda tanya ramai sekali gus menjadi fokal penceritaan filem.

Menurut Amai yang turut membintangi naskhah itu, filem yang dijadualkan ditayangkan di pawagam pada 26 Jun ini dibawa dulu ke di LiZ Off Global Network Sessions Vol. 4 di United Kingdom untuk dipertandingkan.

Katanya, apabila terpilih bersama 26 filem dari negara lain secara tidak langsung membuktikan kisah sejarah bersama latar masa 1910 dengan kostum era itu dengan ditambah rencah fiksyen mampu menarik perhatian juri antarabangsa.

“Alhamdulillah Misteri Fraser 1910 diterima baik orang luar sekali gus bermakna penonton tempatan juga bakal berpuas hati dengan garapan kami.

“Keunikan filem ini bukan sahaja terletak pada kisah seram, bahkan ada pada elemen lain seperti kisah sejarah dan penonton dibawa kembali ke era klasik 1910 bersama dialog bahasa baku lama, busana klasik serta prop yang zaman berkenaan.

“50 peratus adalah berdasarkan kisah benar, manakala bakinya merupakan  fiksyen dan dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem,” ujarnya.

Josiah profesional

Misteri Fraser 1910 mengisahkan Loius James Fraser yang didapati hilang tiba-tiba, namun keretanya ditemui di pinggir jalan sebuah kawasan hutan yang mencetuskan tanda tanya.

Menampilkan Josiah Hogan yang memegang watak sebagai Mr. Fraser, filem tersebut turut membariskan Siti Hariesa, Isyariana serta Erry Putra.

Sementara itu, biarpun menjadi pilihan kedua untuk menggalas watak Mr. Fraser, Josiah Hogan tidak menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuk memberikan yang terbaik.

Profesional dalam bekerja, aktor berdarah kacukan itu menerima tawaran tersebut dengan hati terbuka sekali gus menganggap itu rezeki yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya tahu bukan pilihan pertama apabila hanya diajukan watak Mr. Fraser beberapa hari sebelum penggambaran, namun perkara tersebut bukan isu besar kerana situasi begini biasa berlaku atas beberapa sebab.  

“Saya tidak berkecil hati pun. Pada akhirnya saya percaya semua yang berlaku dalam hidup ini sudah diatur dengan Allah dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Mengenai karakter lelaki Scotland digalas, kata Josiah, 39, perkara paling mencabar adalah untuk mendapatkan slanga negara asal lelaki terbabit.

“Memang kena banyak buat kajian berkaitan slanga Scotland untuk sesuaikan dengan karakter. Selebihnya saya bergantung kepada skrip kerana sejarah asal di Bukit Fraser tidak begitu jelas terutama dari segi perwatakan Mr Fraser sendiri.

“Sebagai pelakon, saya cuba sesuaikan perwatakan Mr. Fraser berdasarkan bahan sedia ada termasuk menggunakan imaginasi bagi melengkapkan penceritaan,” ujarnya

Misteri Fraser 1910 akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Jun ini.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok