‘RM10 juta, RM20 juta pun pernah’ – Adi Putra tolak dirasuah

“RM10 juta, RM 20 juta pun ada.”

Demikian pendedahan pelakon Datuk Adi Putra yang pernah berdepan cubaan disogok bernilai jutaan ringgit sepanjang bergelar anak seni.

Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 46, berkata, tawaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan bidang lakonan, sebaliknya urusan lain yang enggan diperincikan.

Katanya, pihak berkepentingan yang enggan didedahkan identitinya menggunakan pendekatan ‘melobi’ atau memujuk bagi mendapatkan sesuatu yang memberi kepentingan kepada mereka.

RM10 juta, RM20 juta pun ada. Sama juga macam filem Konspirasi ini, wang dihantar dari luar negara dengan jumlah besar.

“Tak logik zaman sekarang nak beri RM100 sahaja. Saya percaya perkara itu sudah jadi lumrah,” katanya kepada HibGlam usai ditemui pada malam gala filem terbaharu lakonannya, Konspirasi.

Dalam pada itu, Adi mengakui cubaan merasuah dirinya bukan berlaku sekali dua, malah menyifatkan perkara berkenaan semakin biasa terjadi ketika ini.

Bagaimanapun, dia akan menilai terlebih dahulu sesuatu pemberian sebelum membuat keputusan untuk menerima atau sebaliknya.

Ramai yang cuba merasuah saya, tapi saya tengok juga perspektif mereka. Bagi saya duit itu cuma angka.

“Adakah rasuah itu untuk menghalalkan cara atau sekadar hadiah? Kalau hadiah itu berbeza, tetapi kalau rasuah untuk menghalalkan cara, saya memang tidak akan terima,” ujarnya.

Meskipun sedar isu berkenaan sesuatu yang sensitif namun Adi berkata, dia berani untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara itu kerana sememangnya terjadi dalam kehidupan.

“Saya cakap terus terang sebab inilah realiti zaman sekarang. Banyak perkara berlaku di luar sana dan saya bukan nak ‘spin’.

Mungkin saya perlu berhati-hati supaya tidak menggores hati orang lain, tapi di media sosial ramai ‘keyboard warrior’ tidak fikir tentang perasaan orang lain.

“Bagi saya duit itu cuma angka. Walau sebanyak mana pun, ia mudah masuk dan keluar. Tetapi apa yang penting adalah apa yang kita mahu tinggalkan untuk waris dan keluarga,” kongsinya.

Bagaimanapun, Adi tidak memperincikan kejadian terbabit termasuk bila dan melibatkan siapa sogokan rasuah yang bernilai jutaan ringgit itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok