SAYA dan Amir hanya sekadar kawan baik sahaja. Tiada selebihnya.”
Demikian respons pelakon Alya Iman apabila dilihat sering berkongsi video mesra bersama pelakon Amir Ahnaf sehingga mencetuskan spekulasi menjalin hubungan cinta bersama aktor tersebut.
Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 24, menegaskan bahawa mereka hanya sekadar berkawan untuk mempromosikan drama terbaru berjudul Pabila Dia Tersenyum.
“Sebelum drama ini pun saya kongsi video bersama sebab kami hanya berkawan.
“Saya sengaja muat naik momen yang kami seronok bersama sepanjang penggambaraan drama ini dan berkongsi dalam sosial media,” katanya kepada HibGlam ketika majlis tayangan perdana episod akhir drama Pabila Dia Tersenyum yang berlangsung di ibu kota, semalam.
Meskipun ramai menginginkan mereka bersama, anak kepada pelakon Allayarham Azmil Mustapha itu hanya berserah kepada Allah mengenai soal jodoh.
“Ramai juga yang inginkan kami bersama tetapi kami lebih selesa sebagai kawan baik.
Tetapi soal masa depan, kita tidak tahu, jodoh di tangan Tuhan. Kalau dia adalah orangnya? Yang penting sekarang kami hanya kawan baik,” katanya.
Dalam masa sama, Alya mengakui tiada sebarang masalah untuk mewujudkan keserasian antara mereka dalam drama tersebut kerana sudah berkawan sejak tiga tahun lalu.
“Sebenarnya kami sudah berkawan selama tiga tahun dan sebelum ini pun saya pernah bekerja dengan dia. Jadi tiada tenaga yang berlebihan pula untuk hidupan babak romantis.
“Amir adalah seorang pelakon yang berbeza. Dia memang berkongsi tenaga dan idea untuk menjadikannya kisah sebenar,” ujarnya.
Sebelum ini, Alya kerap memuat naik gambar bersama Amir dalam Instagram miliknya sejak berlakon bersama dalam drama Pabila Dia Tersenyum. – HIBGLAM