BERTANDANG hampir saban tahun bertandang sejak 1996, menjadikan Malaysia begitu dekat di hati setiap anggota band popular Indonesia, Ungu.
Menyifatkan Malaysia sudah seperti kampung halaman kedua mereka, kunjungan bukan dianggap sebagai bekerja sebaliknya seperti bertemu rakan lama.
Vokalisnya, Pasha berkata, sambutan hangat yang diterima setiap kali ke negara ini membuatkan mereka rasa dihargai, sekali gus meninggalkan kesan mendalam.
Akui pemilik nama lengkap sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 45, penerimaan luar biasa peminat serta kelancaran penganjuran setiap konsert di negara ini membuatkan mereka seakan-akan ‘pulang ke rumah sendiri’.
“Sejujurnya, Malaysia sudah kami anggap sebagai kampung halaman kedua kerana setiap konsert kami di sini sentiasa meninggalkan impak dalam sanubari yang sukar diungkapkan, sangat dekat di hati.
Kehangatan serta maklum balas ramai yang menggalakkan dari kami sampai sehingga berlepas pulang ke tanah air sangat menyentuh perasaan.
“Kiranya urusan sepanjang di Kuala Lumpur atau mana-mana bandar raya di Malaysia yang kami singgahi berjalan lancar selain penganjur juga profesional,” katanya pada sidang media secara virtual, baru-baru ini.

KONSERT orkestra sempena ulang tahun ke-29 Ungu tersebut juga direalisasikan sebagai penghargaan terhadap pemuja Ungu di Malaysia.
Selain Pasha, perkongsian berkenaan Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 Julai ini turut membabitkan anggota lain iaitu Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (drum).
Sesi berkenaan juga disertai konduktor muzik JP Denny mewakili orkestra yang bakal berkongsi pentas dengan band otai terbabit di Planery Hall KLCC kelak.
Tambah Pasha lagi, setiap kali menjejakkan kaki di negara ini, mereka bukan sekadar menghibur, malah mencari ruang untuk melepaskan rindu, berkongsi cerita dan menyampaikan kasih sayang kepada peminat setia.
Konsert orkestra sulung
Ungu yang ditubuhkan pada tahun 1996 mengakui setiap persembahan mereka membawa memori tersendiri tambahan pula pada penganjuran Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu nanti.
Setiap persembahan Ungu sejak awal penubuhan kami memiliki kisah dan kenangan tersendiri tetapi kali ini konsert ini akan menjadi satu bab istimewa dalam perjalanan menuju tiga dekad,” katanya.
Lebih istimewa kerana Ungu akan diiringi orkestra penuh, menjadikannya konsert berkonsep orkestra pertama mereka sejak bertapak dalam industri muzik sekitar 1996.
Akui Makki pula, kemunculan kali ini bakal menampilkan susunan pentas, pencahayaan dan repertoir lagu berbeza daripada sebelum ini, sekali gus membawa penonton menelusuri evolusi muzik Ungu dalam nuansa lebih megah dan menyentuh jiwa.
Sepanjang 29 tahun, ini merupakan sejarah dan perjalanan baharu buat kami apabila pertama kali diiringi orkestra penuh bagi sebuah konsert mega yang juga tidak pernah lagi diadakan di Indonesia.
“Kami juga anggap ini sebagai permulaan kepada satu fasa baharu dalam karier kami bahkan yakin akan menjadi persembahan yang sukar dilupakan.
“Malah konsep orkestra yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-29 kumpulan ini juga direalisasikan sebagai penghargaan terhadap penggemar Malaysia,” kongsinya.

PENGANJUR memilih Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi konsert 12 Julai ini.
Bakal membawakan 17 lagu, kata Enda pula konsert anjuran Apex Venture Global Sdn. Bhd., biarpun julung kali akan diiringi pemuzik orkestra, mereka tidak melihat perkara tersebut sebagai cabaran.
Penuhi selera
Baginya, persediaan rapi untuk berkolaborasi dengan pemuzik orkestra sebaik dilamar promoter Malaysia merupakan anugerah terindah.
Sekarang Ungu sudah dalan fasa menapis lagu memandangkan kami mempunyai katalog dendangan yang besar. Semuanya perlu diperhalusi agar hasil dan ‘bunyi’ yang dilatari orkestra memenuhi ekpektasi semua,” ungkapnya.
Ditanya rahsia keutuhan ikatan mereka, Enda memaklumkan, semua isu diselesaikan di meja perbincangan agar tiada sesiapa bermasam muka.
“Bagai keluarga, rajuk itu perkara biasa tetapi jangan dibiarkan lama-lama. Perlu dijernihkan dan usah dipendam. Paling utama adalah berkomunikasi.
Dalam kumpulan kami yang paling tenang adalah Rowman. Kebiasaannya dia yang jadi orang tengah atau penenang situasi,” ulasnya.
Tiket bermula pada harga RM288 hingga RM1588 kini boleh dibeli menerusi laman web www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM