Sedar Cik B berimej tomboi, usahawan selebriti Datuk Seri Vida berharap anak perempuannya itu akan berubah penampilan dan kembali berperawatakan seperti lazimnya seorang wanita.
Bukan hanya itu, bersempena sambutan Hari Ibu, Vida atau nama asalnya Hasmiza Othman, 54, turut mengimpikan puterinya mempunyai pasangan hidup selain memiliki zuriat sendiri.
“Insya-Allah satu hari nanti Cik B akan jadi seorang anak bersikap ‘gegirl’ (keperempuanan), siapa kutuk Cik B tomboi satu hati nanti anda akan lihat sendiri.
“Saya tidak akan berdiam diri. Sebagai seorang ibu, saya ingin melihat kejayaan, kecantikan, kekayaan dan ingin melihat Cik B berumah tangga.
Saya nak tengok sangat Cik B ada anak. Hari Ibu kepada saya adalah Allah anugerahkan putera dan puteri di dunia dan di akhirat,” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam masa sama, Vida bersyukur dianugerahkan cahaya mata dalam hidup walaupun mereka mempunyai kekurangan tersendiri.
“Kalau anda tengok saya terlalu manjakan Cik B, sebenarnya saya tak tahu nak ekspresikan macam mana rasa bertuah Allah anugerahkan zuriat kepada saya.
“Bila saya fikir balik, Cik B cakap ‘mama lahirkan Cik B begini (berisi), mama rasa sedih tak?’
Saya cakap ‘taklah, cukup sifat pun alhamdulillah. Cik B hebat!’. Mungkin sebab faktor pemakanan, hormon, hidup selesa, semua saya sediakan untuk Cik B jadi dia berisi,” jelasnya.
Sebelum ini, Vida pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali namun semuanya berakhir dengan perceraian.
Dalam perkahwinan pertama, Vida berkahwin dengan Mohd. Amin Yasin dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Eddie Zuhdie, Edrie Zikrie, Cik B atau nama lengkapnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin dan Kacak.
Namun, putera sulung dan keduanya meninggal dunia pada Ogos 2013 dalam kejadian kebakaran di kediamannya Meru Hill, Ipoh. – HIBGLAM