TIDAK seperti kebiasaan, kemunculan Tracie Sinidol untuk sesi fotografi bersama HibGlam tempoh hari agak berbeza. Wajahnya pucat lesi selain tampak kurang bertenaga.
Rupa-rupanya, pengurusnya iaitu Sean mendedahkan wanita asal Tambunan, Sabah itu sebenarnya kurang sihat.
Barangkali kerana terlalu kuat bekerja sehingga tiada rehat atau sememangnya impak cuaca yang tidak menentu.
Namun, pujian harus diberikan kepada Tracie apabila tetap mahu meneruskan sesi fotografi seperti yang sudah dijanjikan.

PERNAH terkena keracunan makanan, Tracie tetap tampil ke set penggambaran bagi memenuhi komitmennya sebagai pelakon.
Pelakon Gadis Masa itu juga tetap akan menyambung kerja penggambaran pada sebelah malam semata-mata memenuhi tanggungjawab sebagai pelakon.
Sejauh mana kita serius dalam industri semuanya bergantung kepada diri kita. Macam saya, walaupun tidak boleh tidur dan tak sedap badan, saya tetap datang ke sesi fotografi serta penggambaran.
“Ini adalah komitmen saya. Saya tidak mahu orang tertunggu-tunggu hanya kerana saya sakit, selagi boleh kerja kuat, saya akan buat,” katanya kepada HibGlam.
Membuka cerita, pelakon berusia 24 tahun itu mengakui pernah menjalani penggambaran dalam keadaan diri hampir lembik kesan keracunan makanan.
Demi tanggungjawab
Mengakui meletakkan tanggungjawab di carta teratas, juara program Dewi Remaja 2021/2022 itu bukan mahu membuktikan apa-apa, sebaliknya menunaikan tugasan sebaik mungkin.
“Kadangkala dalam kerja saya terlalu inginkan kesempurnaan sehingga tolak tepi faktor sampingan lain yang datang tidak diduga termasuk kesihatan.
Pernah saya alami keracunan makanan tetapi tetap ‘turun’ ke lokasi penggambaran kerana menganggap mampu bertahan hanya dengan mengambil ubat tanpa berehat.
“Waktu itu saya cuma fikir ingin melunaskan kerja sedangkan hakikatnya boleh sahaja maklumkan pada produksi tetapi saya teruskan sampailah pengarah menyedari muka saya pucat menahan sakit terus penggambaran dihentikan.
Ada juga beliau titipkan nasihat agar jangan terlampau ‘gila’ kerja sampai abaikan kesihatan, jadi sekarang saya lebih beringat agar insiden sama tidak berulang,” ujarnya mengimbas khilaf sendiri.

SEGALA teguran daripada pengarah yang diterima sepanjang menjalani penggambaran tidak menjadi kudis buat Tracie, dia sebaliknya menjadikan semua itu sebagai sesi pembelajaran untuk memperbaiki lakonannya.
Gara-gara terlalu komited, Tracie juga pernah terbawa-bawa watak yang dilakonkan ke dalam kehidupan seharian sehingga terpaksa mencari kembali diri sendiri selepas habis kerja.
“Selepas ini saya akan aktif dalam YouTube dan tunjukkan kegiatan harian saya. Ini juga langkah untuk saya ingatkan tentang karakter diri sendiri sebab kadang-kadang saya terbawa dengan watak.
Kadang-kadang saya lontarkan dialog dengan cara kasar (ikut watak sedang jalani penggambaran) sedangkan saya tidak perasan saya buat begitu.
“Habis jalani penggambaran, saya akan buat aktiviti rutin, jumpa kawan-kawan atau balik kampung memperuntukkan masa dengan keluarga untuk ingat balik siapa saya,” jelasnya.
Kontroversi murah

DEMI menjaga nama baik keluarga, Tracie tidak akan menerima cadangan membikin kontroversi untuk memanaskan atau melariskan kemunculannya.
Dalam masa sama, Tracie enggan dipengaruhi gesaan mencipta kontroversi demi melonjakkan nama, Tracie berpendapat cara tersebut tidak sesuai selain mementingkan nilai sesebuah karya.
Saya rasa itu adalah cara yang paling kurang sesuai. Kalau nak promosikan sesuatu karya, biarlah berdasarkan kekuatan naskhah dan aspek lain.
“Contohnya, macam filem Inception, orang tertanya-tanya dan mahu tonton kerana skrip naskhah itu sendiri ambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan,” ujarnya.
Teguh dengan prinsip, wanita yang sering disamakan dengan pelakon Mira Filzah itu tetap dengan pendirian tidak akan terjebak dengan produk atau kontroversi yang mampu merosakkan maruah diri dan keluarga.
“Ya, saya akan tolak gesaan idea begitu dengan penuh rasa hormat.
Saya pun akan ambil sesuatu tawaran yang boleh saya hayati watak dengan baik.
“Malah, saya juga akan fikirkan maruah keluarga sekiranya mahu menerima apa-apa tawaran kerja,” tutupnya. – HIBGLAM