Dalam fasa mengenali seseorang, doakan saya – Dayang Nurfaizah

DIKATAKAN bakal melangkah ke gerbang perkahwinan dengan rakan seindustri, penyanyi Dayang Nurfaizah enggan mengesahkan mahu pun menafikan desas-desus yang bertebaran.

Begitupun, Dayang atau nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, mengakui sekarang dirinya sedang berkawan rapat dengan seseorang.

“Saya tidak nafikan kini dalam fasa mengenali seseorang tapi soal kahwin saya tidak mengiya atau menafikannya.

Mungkin agak klise, saya serahkan soal jodoh pada Allah SWT. Mana-mana perempuan pun mesti ingin menamatkan zaman bujang.

“Doakanlah saya, semoga peminat mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya selepas sidang media Konsert MeleTOP TVS di Bukit Jalil, semalam.

Menurut penyanyi asal Kuching, Sarawak itu, berkemungkinan spekulasi bakal mendirikan rumah tangga itu tercetus disebabkan judul lagunya.

Mungkin ada orang menyangka saya nak kahwin sebab lagu raya saya pula berjudul Jodoh Di Hari Raya,” kongsinya.

Dayang juga dilihat lebih selesa tidak memperincikan identiti ‘si dia’ biarpun ramai menebak lelaki yang bertakhta di hati adalah rakan duetnya sendiri.

Terdahulu, khabar angin mengenai dua penyanyi popular bakal naik pelamin tersebar dalam kalangan rakan seangkatan mereka.

Begitupun, pasangan terbabit bijak menyembunyikan percintaan mereka yang difahamkan sudah agak lama terjalin.

Mengenai konsert MeleTOP TVS pula, penyanyi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu bakal sepentas dengan Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Hafiz Suip, Noki, Stacy, Floor 88, Namie dan Dolla di Stadium Tertutup Miri, Sarawak pada 17 Mei ini.

Konsert itu bakal diacarakan gandingan pengacara MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana dan juga pengacara TVS, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh serta Fattah Bolh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok