DILABEL sebagai petani dalam laman Wikipedia, pelakon Kamal Adli hanya mampu tertawa dengan informasi tersebut sekali gus menafikan dakwaan tersebut.
Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, memaklumkan perkara tersebut tercetus gara-gara penangan wataknya, Budin dalam drama Dia Imamku.
Ada yang muat naik tangkap layar Wikipedia dalam media sosial, tapi saya bukan petani dalam kehidupan realiti. Itu semua penangan Budin jadi, percayalah cakap saya.
“Sebelum ini mereka tulis pekebun, pemandu, suami Humaira (karakter Siti Saleha) sekarang dah tukar balik pelakon dan pengacara,” katanya kepada HibGlam semasa sesi fotografi di Astro hari ini.
Berkongsi lanjut, suami kepada pelakon Uqasha Senrose itu tidak ambil hati dengan gurauan tersebut sebaliknya teruja peminat menghargai lakonannya.
Bagi saya, selagi tidak keterlaluan saya gembira dengan apa yang peminat lakukan nampaklah mereka teruja dengan drama Dia Imamku.
“Saya tengah nikmati momen ini untuk enam bulan punya kerja, jadi saya rasa berbaloi sebab penat lelah ini berbaloi bila ada yang menghargai,”ujarnya.
Sebelum ini, Kamal menjadi sorotan ramai selepas memegang watak Budin menerusi drama arahan Siti Rosmizah kerana memaparkan keperibadian suami yang sempurna.
Menerusi drama terbabit, Kamal digandingkan dengan aktres, Siti Saleha yang memainkan watak Cempaka Humairah.
Bintang lain yang membintangi drama terbabit ialah, Zara Zya, Haneesya Hanee, Khatijah Tan, Fazlina Ahmad Daud dan Amy Nur Tinie. – HIBGLAM