74
MODEL dan usahawan, Asyraf Dasley, melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Juara Dunia Mister Tourism World 2025 edisi ke-8 yang berlangsung di Vietnam Februari lalu.
Pengumuman rasmi kemenangan tersebut dibuat melalui satu kenyataan media oleh pihak penganjur dalam akaun rasmi media sosial penganjur selepas semakan semula keputusan pertandingan.
Menurut Asyraf, beliau amat bersyukur dan berbesar hati atas pengiktirafan itu, meskipun mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat meraikan kemenangan tersebut di atas pentas pada hari kejadian.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kemenangan ini. Memang rasa sangat gembira bila pengumuman dibuat, tapi pada masa yang sama agak sedih kerana saya tak dapat raikan saat itu bersama peserta lain di pentas. Namun saya puji kewibawaan dan integriti pihak penganjur kerana berlaku jujur dalam menguruskan pertandingan ini.
“Kemenangan ini saya dedikasikan untuk seluruh rakyat Malaysia. Saya percaya kita boleh bersaing dan menonjol di pentas dunia jika kita percaya pada diri sendiri dan bersatu hati.
“Saya juga akan gunakan peluang ini untuk terus memperkenalkan keindahan Malaysia kepada dunia, termasuk melalui kolaborasi dengan agensi pelancongan dan kementerian berkaitan,” katanya.
Asyraf juga mendedahkan bahawa tempoh persiapan dan pertandingan bukan sesuatu yang mudah terutamanya apabila beliau baru sahaja kehilangan ibunya pada 8 Januari 2025.
“Saya hampir menarik diri daripada pertandingan ini. Kehilangan ibu memberi kesan yang sangat besar, tetapi saya teringat kata-kata arwah yang minta saya buat sehabis baik. Itu yang beri saya kekuatan untuk teruskan perjuangan hingga ke akhir,” ujarnya.
Tambahnya, selepas merangkul gelaran juara dunia, dia kini menyasarkan untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang lakonan.
“Saya sedar ramai kenal saya sebagai model, jadi saya mahu cabar diri untuk ubah persepsi itu. Saya mahu buktikan bakat lakonan saya dan membina nama di tanah air.
“Saya percaya usia bukan penghalang untuk bermula dalam bidang lakonan. Banyak pelakon antarabangsa memulakan kerjaya agak lewat tetapi tetap berjaya. Saya akan gunakan setiap peluang yang ada untuk cipta lebih banyak kejayaan selepas ini,” ujarnya.
Mister Tourism World 2025 yang berlangsung di Ninh Thuan, Vietnam menyaksikan penyertaan dari 26 negara merangkumi seluruh benua. – HIBGLAM