PENYANYI Datuk Nora Ariffin bakal memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli pada 21 April depan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini, selepas gagal menemui titik penyelesaian.
Menurut Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, keputusan tersebut dilakukan selepas pelbagai usaha telah dilakukan bagi memulihkan perkahwinannya termasuk perbincangan dengan pihak terlibat, namun tetap menemui jalan buntu.
“Saya nekad membuat keputusan untuk memfailkan permohonan perceraian terhadap suami saya.
Hal ini berikutan wujudnya campur tangan pihak ketiga sehingga perkahwinan kami tidak lagi dapat diteruskan dengan aman. Bahkan, memberi kesan kepada keselamatan saya sehingga membawa kepada pengabaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penjelasan tersebut juga diharapkan dapat menghentikan segala spekulasi mengenai kepincangan rumah tangganya selepas bergelar isteri kedua kepada ahli akademik tersebut.
Atas faktor keterdesakan dan kebaikan semua pihak, saya tetap bersama keputusan saya bagi meneruskan tindakan perceraian ini.
“Bukan tidak mahu menyelamatkan rumah tangga, pelbagai usaha telah dilakukan namun segala-galanya menemui jalan buntu,” katanya.
Pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu turut memaklumkan, kemelut rumah tangganya membuatkan karier sebagai seorang penghibur terganggu.
Tidak dinafikan bahawa segala usaha untuk memulihkan rumah tangga telah melalui pelbagai peringkat termasuklah sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak-pihak terbabit tetapi masih tidak mencapai kata penyelesaian.
“Malah, kemelut ini menjejaskan keselamatan dan merosakkan reputasi saya sebagai seorang artis yang telah bergiat sekian lama dalam industri muzik,” katanya lagi.
Dalam kenyataan tersebut, Nora akan memfailkan perceraian pada pukul 10.30 pagi ditemani peguam syarie daripada Tetuan Sarah Ali & Co.
Terdahulu, Nora mengejutkan ramai apabila memuat naik foto hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dipercayai ingin memfailkan perceraian terhadap suaminya selepas didakwa didesak oleh pihak ketiga.
Sementara itu, Dr. Rushdi pula tampil bersuara memihak Nora dan mengakui menerima tekanan daripada pihak lain agar berpisah dengan Nora.
Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya. – HIBGLAM