DALAM kemeriahan ‘perang’ lagu raya, penyanyi Ara Johari tidak ketinggalan muncul dengan single raya terbaharunya berjudul Zapin Malam Raya.
Lagu yang mengangkat irama zapin ciptaan Affan Mazlan tersebut turut menampilkan kumpulan pelawak dari Pantai Timur, Trio Latah sebagai penyanyi undangan.
“Sejujurnya saya memang hendak keluarkan lagu raya tetapi tidak jumpa demo yang sesuai. Jujur, awal Mac rancang dan terus buat rakaman.
Untuk lagu Zapin Malam Raya tidak ada perancangan yang khusus, tetapi hasilnya saya amat berpuas hati kerana elemen kemelayuan dan tradisional yang inginkan itu menjadi dalam lagu ini,” kata Ara.
Lebih Istimewa, lagu raya kali ini turut menampilkan sisi lain Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 29, yang sebelum ini tidak pernah membawakan lagu-lagu irama Malaysia.
Apatah lagi, Zapin Malam Raya mengetengahkan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan.
Sepanjang sembilan tahun menjadi penyanyi, ini kali pertama saya mengeluarkan lagu bergenre irama Malaysia.
“Mungkin peminat akan terkejut sebab mereka sudah terbiasa dengan suara saya yang menyanyikan lagu rock.
“Tetapi saya tetap mahu mencubanya dan saya mengaku banyak merujuk lagu tradisional nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk mencantikkan lengok tradisonal dalam lagu ini,” katanya tentang lagu yang mengisahkan pengiliran balik raya.

ARA tidak meletakkan harapan tinggi untuk single lagu rayanya meledak atau trending dalam media sosial.
Penyanyi yang popular dengan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain itu bagaimanapun menafikan pemilihan Trio Latah menjadi strategi mengambil kesempatan atas populariti mereka dalam media sosial.
Sebaliknya kata Ara, dia telah mengenali Trio Latah selama dua tahun dan kerap bekerjasama dalam beberapa acara.
Menyedari keunikan Trio Latah dan bakat nyanyian mereka, Ara berasakan tidak salah untuknya mencuba sesuatu yang baharu.
“Mereka bertiga memang rakan saya, kami kerap jumpa di acara pentas. Orang hanya kenal mereka sebagai pelawak, tetapi apabila mereka menyanyi, suara agak sedap.
Jadi, saya fikir apa salahnya bergandingan dengan mereka. Alhamdulillah, mereka bertiga sangat profesional walaupun melatah di dalam lagu (ketawa).
“Sejujurnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk lagu ini trending atau viral. Sebab kita tahu ramai penyanyi nama besar turut keluarkan lagu raya pada tahun ini. Saya cuma berharap agar peminat boleh menerimanya dengan baik sudah memadai,” jelas Ara.
Sementara itu, video muzik lagu ini juga dalam proses penggambaran dalam boleh ditonton tidak lama lagi.
Lagu Zapin Malam Raya diedarkan Universal Music Malaysia dan boleh didengari menerusi semua platform digital bermula 19 Mac ini. – HIBGLAM