‘Bertentangan ajaran Islam, gelaran penyondol sangat menyedihkan’

Lama berdiam diri, suami kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin iaitu Dr. Rushdi Ramli tidak menyangka keputusannya untuk berpoligami menerima tentangan hebat namun tetap menerima segala ujian Allah SWT dengan reda.

Menurut Rushdi, 59, berpoligami tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya sebelum ini tetapi akhirnya dilakukan kerana niat murni terhadap Nora iaitu untuk membimbing selepas pemergian Allahyarham Johan Nawawi.

Sesungguhnya, tidak pernah terlintas langsung dalam minda dan diri saya untuk mendekati Nora atas sebab kerjaya dan bidang yang jauh berbeza antara kami.

“Didorong niat murni untuk menjaga, membimbing, mengajar ilmu dan menjaga anak-anak arwah yang masih pada awal usia, di sinilah timbulnya keinginan untuk meminang.

“Demi Tuhan, hanya Allah SWT sahaja yang tahu niat saya dan semuanya adalah dengan kehendak-Nya jua,” katanya.

Mengulas tentang isu rumah tangganya yang menjadi bahan bualan ramai baru-baru ini, Rushdi dia perlu menerima segala ujian Tuhan namun bersyukur masih dapat menempuhinya dengan tenang.

“Inilah dugaan dan cabaran dalam berpoligami. Saya pernah menerima desakan dan asakan cukup mencabar kehidupan berpoligami, namun dapat diatasi dengan izin Allah.

“Apakah alasan boleh diberikan sedangkan poligami dibenarkan dalam Islam dengan kata sepakat para ulama. Adakah saya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, bapa kepada anak-anak yang sudah dewasa?,” ujarnya.

Menganggap semua yang berlaku termasuk keputusannya untuk berpoligami adalah suratan takdir, Rushdi mengakui tanggungjawab dipikulnya ketika in terlalu besar.

“Sebenarnya saya tak pernah terfikir berpoligami kerana secara peribadi saya merasakan tidak layak, sedar cabarannya amat banyak dan besar.

“Masyarakat pula sering mencanangkan idea negatif seperti isteri kedua adalah perampas kerana kehadirannya dikatakan boleh memporak-perandakan rumah tangga bahagia yang terbina selama ini.

Namun, hakikatnya kita tidak dapat menolak takdir dan ketentuan Ilahi dalam hidup seperti dinyatakan dalam rukun iman,” ujarnya.

Sedih Nora dilabel

Sebagai suami, dia berasa sedih apabila Nora dilabel dan dilemparkan dengan pelbagai gelaran negatif oleh segelintir pihak.

“Dalam kehidupan poligami, gelaran seperti ‘penyondol’ dan ‘sundal’ sering dikaitkan dengan isteri-isteri. Sama ada isteri kedua, ketiga dan seterusnya.

“Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan wajar dihentikan kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Ini juga berlaku kepada Nora yang turut menerima gelaran sedemikian.

“Di sini, tidak dapat dinafikan sayalah insan yang meminang Nora dan bukan sebaliknya,” tuturnya.

Menerusi perkongsian sama, dia berharap masyarakat dapat mendoakan baik-baik dan tidak lagi melemparkan kata-kata negatif terhadap mereka sekeluarga.

“Saya memohon agar rumah tangga dibina ini yang berasaskan kerana Allah akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Doakan juga agar Nora sentiasa menjadi seorang yang kuat, sabar, tabah dalam melayari kehidupan baharu ini.

“Semoga kehadiran saya yang serba kekurangan sedikit sebanyak dapat memberikan bantuan dan sokongan dalam apa juga bentuk terhadap keluarga Nora, khususnya untuk keluarga arwah sahabat saya dunia akhirat, Allahyarham Johan,” luah Rushdi.

Nora atau Wan Norafizah Ariffin mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya pada Disember 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok