HUBUNGAN baik dengan pempengaruh Cik Epal dikatakan mula keruh, penyanyi Ojen menafikan dakwaan tersebut selain menegaskan persahabatan mereka kekal utuh.
Dalam masa sama, Ojen atau nama lengkapnya Mohd Ruzain Ahza Mohd Rosli, 28, berkata, kebelakangan ini jadualnya padat disebabkan bakal melancarkan lagu raya baharu sekembali menunaikan umrah.
Ini kali pertama saya dengar mengenai perkara ini. Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali, hubungan saya dan kawan-kawan termasuk Cik Epal sangat baik dan tiada masalah.
“Cuma belakangan ini saya sangat sibuk dengan penggambaran video muzik lagu raya. Ini pun baru sembuh daripada demam.
“Sebelum ini pun saya sibuk buat persiapan menunaikan umrah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Kongsi Ojen, spekulasi tersebut mungkin tercetus apabila dia tidak lagi memuat naik kandungan bersama ibu tunggal anak dua itu.
Mungkin dakwaan itu muncul kerana kami jarang muat naik video bersama, sedangkan kami ada sahaja keluar cuma tidak dikongsikan kepada umum. Bagi saya ini perkara kecil.
“Kalau mahu kata bergaduh, tidak logik. Saya siap berkolaborasi dengan Cik Epal untuk keluarkan perniagaan Kunafa Madu Tiga,” jelasnya.
Sebelum ini, timbul desas-desus persahabatan Ojen dan Cik Epal dingin dalam aplikasi Threads.
Ojen dan Cik Epal sebelum ini dilihat sangat akrab selepas wanita berkenaan bercerai dengan bekas suami iaitu Jofliam. – HIBGLAM