Dah 40 tahun, Soo Wincci masih dapat angpau

MENJADI adat bagi setiap yang berbangsa Cina untuk memberi angpau kepada mereka yang belum berkahwin sempena Tahun Baru Cina.

Hanya mereka yang sudah berkahwin sahaja perlu memberi angpau kepada kanak-kanak ataupun individu yang belum berkahwin manakala individu yang belum berkahwin dilarang untuk berbuat demikian.

Disebabkan itu jugalah, selebriti Dr. Soo Wincci, 40, berseloroh mengenai puncanya tidak berkahwin sehingga sekarang.

Menerusi wawancara dalam siaran audio siar bersama cef selebriti, Adu Amran, Wincci berkongsi tentang adat memberi angpau dalam kalangan masyarakat Cina.

Menurut bekas ratu cantik Malaysia World 2008 itu, dia masih menerima angpau daripada rakan-rakannya sehingga kini.

“Perayaan Cina tak sama dengan Melayu. Kalau Melayu semua orang boleh bagi duit raya. Cina pula yang belum berkahwin tak boleh bagi angpau. Itu adalah adat.

Kelakar atau tidak, sehingga kini saya masih terima angpau daripada kawan-kawan. Walaupun saya cakap tak perlu, mereka tetap nak bagi demi mengikut adat.

“Inilah sebabnya saya tak mahu Kahwin,” katanya sambil ketawa.

Tambah Wincci lagi, adat inilah yang membezakan setiap budaya di Malaysia yang sememangnya terkenal dengan berbilang bangsa dan hidup harmoni.

Menariknya selain menyambut perayaan Tahun Baru Cina, Wincci juga dikenali sebagai selebriti berbangsa Cina yang rajin berpuasa pada bulan Ramadan. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok