TIDAK menolak untuk hamil lagi, pelakon Mira Filzah mengakui sudah bersedia andai dikurniakan rezeki menimang cahaya mata kedua memandangkan anak sulungnya, Wan Khair Amir, kini sudah berusia tiga tahun.
Menurut Mira atau nama lengkapnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, dia dan suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar, merancang untuk menjarakkan kehamilan sebelum ini bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada anak sulung mereka.
“Sekarang Amir dah tiga tahun, jadi kami sudah bersedia. Tapi kami hanya ‘go with the flow’. Saya pun berharap ada rezeki anak kedua selepas ini.
Dahulu, waktu masih kecil memang kami tak mahu tergesa-gesa sebab mahu tumpahkan kasih sayang sepenuhnya kepada dia.
“Tapi kalau ada rezeki sekarang, kami terima dengan hati terbuka,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon filem Sangkar itu, dia dan suami juga tidak menggunakan sebarang kaedah pencegahan kehamilan kerana percaya kepada aturan rezeki.
Untuk bayi kedua, kami ada rancang masa yang sesuai. Tapi, bukanlah merancang secara ketat atau terlalu terperinci.
“Kami tak ambil apa-apa langkah pencegahan. Kalau rezeki datang cepat atau lambat, kami tetap bersyukur,” ujarnya.
Mira mendirikan rumah tangga dengan Emir pada September 2020 dan pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir pada 2021.
Perkembangan lain, Mira menjadi pelakon utama dalam drama bersiri Gadis Masa terbitan Viu Originals yang mula ditayangkan pada 23 Januari ini.
Selain Mira, barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Sherry Ibrahim, Tracie Sinidol, Bella Dowanna, Fadlan Hazim dan Nadia Aqilah turut membintangi drama tersebut. – HIBGLAM