MENYIMPAN impian mengikut jejak ibu saudara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sebagai penghibur, Umairah teruja apabila meraih kepercayaan menjadi artis pertama bernaung di bawah syarikat pengurusan Biduanita Negara itu.
Secara rasmi bersama Siti Nurhaliza Legacy (SNL) pada 1 Januari lalu, penyanyi remaja berusia 14 tahun itu yakin mampu menonjolkan vokal serta kemampuan sebenar dengan bimbingan pasukan pengurusan.
Bahkan jauh di sudut hati pemilik nama lengkap Ummi Umairah Saiful Anuar, andai dibuka jalan dia mahu melebarkan langkah hingga ke China.
“Mungkin masih terlalu awal untuk menjangkakan apa yang akan saya depani nanti. Tetapi saya anggap peluang berada di bawah SNL sebagai gelanggang untuk mengukuhkan langkah.
Apabila Mak Iti (Siti) buka laluan untuk menjadi penyanyi rakaman, saya cabar diri untuk tonjolkan kemampuan dan harapnya bukan hanya di negara ini, malah hingga ke China.
“Saya harap kelebihan boleh berbahasa Mandarin dapat saya manfaatkan sepenuhnya dalam kerjaya seni ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak dengan SNL, baru-baru ini.
‘Diikat’ selama lima tahun, Umairah yang mendapat pendidikan sekolah jenis kebangsaan teruja bakal merakamkan single pertama dalam tempoh terdekat.
Emas WCOPA
Biarpun masih di sekolah berasrama, akuinya tiada masalah untuk memenuhi undangan pentas atau tawaran lain dengan menggunakan cuti sekolah.
“Ikutkan buat masa ini saya hanya tumpukan pada pelajaran di sekolah seni, namun SNL memahami, malah memang meminta saya fokus terhadap sekolah.
Cuma apabila musim cuti, jadual nyanyian dan persembahan baru saya dapat penuhi. Kiranya ini bonus bernaung di bawah syarikat ibu saudara.
“Apa pun saya tidak boleh ambil kesempatan kerana hakikatnya saya dipilih jadi artis pertama SNL bukan atas tiket saudara, sebaliknya hasil kerja keras,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kemenangan dalam pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) 2024 di Los Angeles menjadi antara kriteria yang membolehkannya meraih kepercayaan Siti.
Bukan senang untuk membuktikan saya memang serius untuk menjadi penyanyi. Walaupun kerap memasuki pertandingan dan pernah beraksi di konsert penghibur hebat, itu belum cukup.
“Faktor lain mungkin kerana saya dapat bawa pulang pingat emas kategori Vokal Junior di WCOPA, Jun lalu. Terima kasih Mak Iti kerana percayakan saya,” katanya. – HIBGLAM