Nabila, Bella Astillah ajak peminat ‘self love’

JIKA anda peminat lagu berentak pop dan catchy, mungkin lagu duet terbaharu gabungan Nabila Razali dan Bella Astillah berjudul CACACA adalah pilihan yang tepat.

Kolaborasi sulung dua penyanyi itu menjanjikan pengalaman muzik yang segar dan penuh tenaga selain mengembalikan genre yang pernah sinonim dengan Nabila sebelum ini.

Menurut Nabila, CACACA hasil ciptaan Mage dari Faithful Publishing, Ja’a (Faithful Publishing) dan Ezra Kong (Raksasa Studio) itu merupakan sebuah lagu pop ceria yang mengangkat tema keyakinan diri dan kebebasan bersuara.

Teruja dengan kolaborasinya, irama ‘catchy’, lirik yang simple dan mudah diingati mampu mencipta fenomena baharu buat para pendengar.

Ramai peminat sudah meminta kerana rindu mahu mendengar saya nyanyi lagu pop sebab kerap muncul dengan lagu galau sahaja.

“Jadi, apabila saya dilamar Faithful dan Universal Music Malaysia serta mendengar demo, memang automatik rasa karya ini sesuai dengan jiwa saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

BELLA dan Nabila teruja CACACA mudah diterima khalayak malah selepas beberapa hari dilancarkan lagu berkenaan sudah digunakan sebagai latar video dalam media sosial. – AFIQ RAZALI

Pelantun lagu Nangis itu mengakui tidak menyangka berpeluang kolaborasi bersama Bella.

“Ketika diberitahu yang saya akan bergandingan dengan Bella, memang tidak berfikir panjang.

“Jodoh kami memang kuat ditambah pula selalu berjumpa di beberapa acara sebelum ini dan akhirnya dapat bekerjasama,” jelasnya.

Selain genre pop, Nabila juga memberitahu mesej yang diketengahkan dalam lagu tersebut juga antara faktor dirinya bersetuju dengan kolaborasi itu.

Dengar memang biasa tetapi sarat dengan mesej yang positif. Kalau diamati, liriknya lebih kepada mengajak pendengar untuk ‘self love’.

“Kami juga mahu pendengar rasa bermotivasi dengan lagu ini, bukan sekadar berhibur.

“Lagu-lagu sekarang banyak yang mesej negatif, jadi CACACA adalah pilihan tempat untuk positifkan diri,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Bella Astillah pula menyifatkan kolaborasi bersama Nabila merupakan satu peluang terbaik untuk dirinya mengembangkan lagi kariernya sebagai penyanyi.

Paling mengujakan, lagu tersebut semakin diterima dan digunakan oleh pengguna media sosial.

“Sebelum ni saya banyak nyanyi lagu sedih, cover karya penyanyi lain tetapi sekarang sudah ada lagu sendiri.

Single saya sebelum ini Tapi Bukan Denganmu berentak balada, jadi CACACA menguji kemampuan saya menyanyikan lagu rancak pula.

“Apa yang membuatkan saya teruja kerana baru beberapa hari dilancarkan, orang sudah mula menggunakan lagu kami dalam media sosial. Respons sangat positif,” jelasnya.

Lagu CACACA yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia boleh dinikmati dalam semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan Youtube Muzik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok