SINGLE baharu nyanyian Ronnie Hussein yang bertajuk Benar Aku Cinta ciptaan Bee Ngepz dan Tam Cobain digambarkan sebagai luahan emosi kehilangan ibunya, Allahyarham Che Nah Jaafar yang meninggal dunia pada Oktober lalu.
Kata pemilik nama lengkap Shahron Hussein, 43, lagu tersebut dilancarkan tepat pada waktu berdepan dengan kehilangan insan istimewa dalam hidup.
“Mengikut perancangan awal, lagu ini dilancarkan pada 29 Oktober. Tetapi, kita tidak boleh hendak menolak takdir apabila ibu saya meninggal dunia sehari sebelum itu. Sejujurnya penghasilan Benar Aku Cinta tidak mempunyai kaitan dengan pemergian ibu kerana sudah dibuat lebih awal.
“Lagi pun lagu ini pada asalnya bukan diciptakan untuk saya, tetapi disebabkan penyanyi itu tidak mahu dengan lagu ini, jadi penciptanya memberikan kepada saya.
“Tetapi selepas lagu ini dihasilkan dan dibuat susunan semula, saya berasa lirik lagu Benar Aku Cinta kena dengan perasaan dan situasi saya yang merindui arwah ibu,” katanya.
Mengulas mengenai pembikinan single baharunya itu, Ronnie memberitahu, lagu tersebut pada awalnya dihasilkan dengan irama rock sebelum digubah semula menjadi rentak balada.
“Pertama kali mendengar lagu itu saya sudah rasa jatuh cinta dan tertarik. Meskipun rentak asal lagu itu rock, tetapi saya tertarik dengan kekuatan lirik.
“Saya tidak tahu apa punca penyanyi itu menolak lagu ini. Mungkin kerana dia tidak berminat atau sibuk dengan projek lain,” ujarnya yang menjadi antara 12 peserta program Gegar Vaganza musim ke-11 itu.
Mengulas lanjut, lagu tersebut mengambil masa tiga hari untuk disusun semula agar bersesuai dengan gaya nyanyian Ronnie.
Bukan sahaja mengikut corak muzik Ronnie, malah lagu tersebut turut diangkat sebagai runut bunyi (OST) drama rantaian Lara Kasih yang bersiaran menerusi TV3.
Kelebihan menjadi runut bunyi drama dianggap sebagai batu loncatan bagi membantu lagu tersebut dekat kepada pendengar.
“Alhamdulillah dan saya bersyukur sangat kerana lagu itu berjaya dijadikan sebagai lagu tema drama. Tidak dinafikan peluang itu dapat menjadikan lagu itu lebih dikenali dan diterima khalayak.
“Sebelum ini ada banyak lagu saya yang dijadikan lagu tema dan mendapat perhatian peminat. Jadi saya pun meletakkan harapan sama kepada lagu ini,” katanya penuh harapan.
Beberapa lagu nyanyian Ronnie sebelum ini berjaya menjadi lagu tema antaranya Sang Pemilik Hati, Dikoyak Waktu dan Menanti Janji.