Guna Insya-Allah dalam lagu, Jasper Supayah nafi tunggang agama

DIDAKWA tidak sensitif isu agama, pelakon dan penyanyi, Jasper Supayah menegaskan penghasilan single terbaharunya berjudul Insya-Allah (Lagu Buat Cinta) bukan bertujuan mencetuskan kontroversi mahupun mencuit sensitiviti mana-mana pihak.

Meskipun bukan beragama Islam, Jasper atau nama sebenarnya Jasper James Supayah, 31, percaya istilah Insya-Allah berasal daripada bahasa Arab dan bersifat universal malah boleh digunakan semua individu.

“Saya sudah biasa menggunakan istilah seperti Assalamualaikum dan Insya-Allah dalam percakapan harian kerana dibesarkan dalam persekitaran ramai kawan berbangsa Melayu.

Sebelum ada yang mahu mempertikaikan, saya sedar bahawa Insya-Allah bermaksud ‘dengan izin Allah’.

“Saya percaya itu tidak membawa konflik atau salah faham kerana itu adalah kata-kata yang membawa maksud positif,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon Jemputan Ke Neraka itu, dia tiada niat memanipulasi atau menunggang agama demi kepentingan peribadi.

“Bagi saya, semua orang bebas menggunakan bahasa apa pun asalkan niatnya baik.

Tidak ada unsur penghinaan atau mencuit sensitiviti mana-mana pihak. Lagu ini sekadar luahan jiwa saya,” tambahnya.

Mengulas lanjut penghasilan lagu Insya-Allah (Lagu Buat Cinta), Jasper mengakui telah membelanjakan kira-kira RM20,000 demi merealisasikan impiannya itu.

“Ini kali pertama saya berbelanja besar untuk menghasilkan lagu sendiri. Daripada menulis lirik, menggubah lagu, menentukan konsep hingga menghasilkan video muzik, semua dilakukan sendiri.

Proses ini mengajar saya berdikari. Selama ini, saya sering bergantung kepada orang lain, tetapi kali ini saya mahu mencabar diri.

“Apabila melihat hasil akhir, perasaan puas itu sangat luar biasa,” ujarnya.

Dalam masa sama, Jasper mendedahkan masih ramai tidak menyedari dirinya berdarah kacukan Cina-India meski sudah lapan tahun berkecimpung dalam industri seni.

Ramai ingat saya Islam kerana wajah dan cara saya bertutur seperti orang Melayu sejati.

“Saya tidak tersinggung, malah selesa dikenali begitu,” dedahnya.

Sebelum ini, Jasper dikecam hebat selepas melancarkan single terbaharunya yang dikatakan tidak sensitif terhadap penggunna perkataan ‘insya-Allah’ dalam lagu tersebut.

Insya-Allah (Lagu Buat Cinta) bukan sekadar langkah Jasper dalam dunia nyanyian, tetapi juga bukti usaha gigihnya dalam menghasilkan karya yang bermakna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok