TAK naklah tukar lagu. Inilah masanya untuk saya tunjukkan sisi versatil saya.”
Itu respons Ning Baizura apabila diberi cabaran menyanyikan lagu Sejati dendangan kumpulan Wings untuk konsert minggu ketiga Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), pada minggu depan.
Menerusi konsert kedua yang berlangsung malam tadi, Ning berada di kedudukan Top 5 yang memberi keistimewaan kepadanya untuk menukar lagu sekiranya mahu.
Ning atau nama lengkapnya Nimg Baizura Sheikh Hamzah, 49, bagaimanapun berkata, dia mahu menyahut cabaran yang diberikan produksi selain membuktikan semangat juangnya dalam GV11.
Saya akan nyanyikan lagu Sejati dengan cara saya sendiri. Kalau boleh tanpa merosakkan lagu itulah.
“Saya memang sukakan cabaran seperti ini. Minggu ketiga bukan lagi untuk berada di zon selesa.
Ramai orang tak tahu saya memang peminat Awie dan saya sukakan lagu rock. Baru tiga hari lepas saya jumpa Awie. Tak sangka pula saya dapat lagu dia,” katanya kepada Kosmo Online.
Mengulas persembahannya pada malam tadi, Ning berkata, lagu Dugaanku mengimbau kenangannya sepanjang bergelar anak seni.
Dalam kepala saya teringat bagaimana jatuh bangun dalam bidang seni selama 30 tahun. Pada masa yang sama saya terkenang pengorbanan ibu yang sanggup berhenti kerja sebagai guru untuk menjadi pengurus saya.
“Kehadiran ibu pada konsert minggu kedua ini sangat bermakna kerana dia bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-81. Bila seluruh dewan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi, dia sangat gembira dan terharu,” kongsinya.
Ditanya tentang markahnya yang dipotong sebanyak 10 mata gara-gara menyanyikan lagu sendiri, kata Ning dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana lagu tersebut diberikan pihak Astro.
“Lagu Dugaanku bukan pilihan saya. Astro yang mahu saya nyanyikan lagu ini. Tak apa, saya okey. Yang penting saya puas menyanyikan lagu ini,” katanya. – HIBGLAM