SIAPA tidak mengenali si cantik yang mencipta fenomena sejak mula menceburi dunia seni beberapa tahun lalu.
Bakatnya tidak pernah dipertikai apabila berjaya memukau penonton menerusi impak lakonan dalam pelbagai genre drama dan filem.
Mula melakar nama sebagai pelakon dan penyanyi remaja di Singapura, kehadiran Hannah Delisha di Malaysia membuka lembaran baharu dalam karier seninya apabila membintangi banyak naskhah yang terus melonjakkan popularitinya.
Berbekal wajah manis seiring bakat, Hannah pantas menambat hati peminat sehingga kini. Namun, di sebalik kehidupan glamornya, pemilik nama lengkap Hannah Adlina Blackburne Birch itu sebenarnya individu sederhana, selain gemar menghabiskan masa di rumah.
Terkenal dengan sikap profesional, aktres bermata bundar itu juga memilih untuk tidak terlibat dengan sebarang isu panas melanda industri seni, apatah lagi masuk campur dalam hal yang tidak berkait langsung dengan dirinya.
Menurut wanita berusia 28 tahun itu, fokus utamanya adalah kerja dan mengekalkan privasi diri tanpa menjerumuskan diri dalam sebarang kontroversi.
“Saya hanya mahu bekerja. Kalau ada kerja, saya keluar bekerja. Saya suka duduk di rumah, tapi kalau terlalu lama di rumah pun, saya rasa tak selesa, rasa macam nak buat kerja.
“Jadi, lebih selamat saya tak masuk campur dengan apa-apa masalah di luar sana. Kalau bukan hal saya, saya takkan ambil tahu. Kalau saya cuba campur tangan, mungkin keadaan akan jadi lebih buruk.
“Saya selesa dengan pendekatan sebegitu. Lebih baik elak perkara seperti itu selagi tidak melibatkan saya,” katanya kepada Pose.
Berpasak pada pendirian itu, dia memilih untuk hanya fokus kepada tanggungjawab sebagai seorang pelakon tanpa terlalu lantang memzahirkan pendapat terhadap mana-mana isu.
“Kerja saya adalah untuk berlakon. Bila di set, saya beri fokus penuh, habiskan penggambaran, kemudian balik. Itulah rutin harian saya.
“Kalau ada apa-apa isu dalam industri, saya tidak ambil tahu selagi nama saya tidak dipetik. Tapi, kalau ada yang menyebut nama saya, sudah tentu saya mahu tahu apa sebenarnya berlaku.
“Adakah saya buat sesuatu yang salah? Kalau ya, saya perlu periksa dan faham situasi. Tetapi, jika tidak melibatkan saya, lebih baik saya abaikan sahaja,” jelasnya.
Bercakap mengenai bahagian kedua drama terbaharu dibintanginya berjudul Di Hatiku Ada Kamu, Hannah berkata terdapat perbezaan daripada segi perkembangan watak Rian yang digalasnya.
“Dalam bahagian pertama, Rian digambarkan sebagai wanita yang lebih terbuka untuk dimanipulasi orang lain, terutamanya Adif yang lakonan Redza Rosli.
“Namun, dalam bahagian kedua, watak Rian mengalami perubahan yang signifikan. Setelah tujuh tahun berlalu, dia semakin matang dan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.
“Rian kini menjadi lebih berani dan berkeyakinan, tidak membenarkan sesiapa, termasuk Adif, untuk mengambil kesempatan ke atasnya. Dia bukan lagi wanita yang mudah ditipu,” ujarnya menutup bicara.
Drama arahan Azri Izhar itu turut menampilkan Redza Rosli sebagai teraju utama memegang watak Rian Aulia.
Bahagian kedua Di Hatiku Ada Kamu kini sedang ditayangkan di platform penstriman Viu setiap Khamis hingga Sabtu. – HIBGLAM