Exists tak pernah ‘buang’ Mamat

MENGERJAKAN ibadah umrah tanpa Mamat bukan bererti anggota kumpulan Exists mula bertindak pilih bulu atau membelakangi bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama itu. 

Kata Ajai, Exists tetap memberikan perhatian kepada Mamat sekali gus mengharapkan agar pelantun lagu Salju Di Danau Rindu itu segera pulih. 

“Kami tidak dapat menghubunginya terus, tetapi daripada khabar yang dimaklumkan oleh ahli keluarga, Mamat berada dalam keadaan baik. 

“Kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk dia. Walaupun berjauhan dan tidak bersama, tetapi kami sekumpulan sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.

“Sekiranya ada yang berbuat silap dalam kumpulan memang kami akan tegur. Kami tidak akan membiarkan atau meletakkan kesalahan kepada sesiapa,” katanya. 

Selain Exists, peminat juga berpeluang untuk menunaikan ibadah umrah bersama kumpulan popular itu menerusi program Umrah Langkah Seiringan Exists anjuran Darmina Revolution.

Bakal berangkat ke Tanah Suci pada 22 Januari 2025 hingga 2 Februari 2025, Exists akan bersama dengan peminat untuk melakukan ibadah umrah dan aktiviti ziarah bersama peminat. 

Menurut Ketua Pegawai Operasi Darmina Revolution, Ahmad Fawzy Mohd Hashim, pemilihan Exists dibuat berdasarkan hubungan baik sesama ahli kumpulan meskipun masing-masing sudah mempunyai kerjaya solo. 

“Kita tahu bahawa kumpulan Exists ini sudah lama ditubuhkan sejak 1980-an lagi. Biarpun begitu, kita tidak mendengar sebarang perkara negatif tentang ahli kumpulan sama ada berbalah atau bermasam muka. 

“Jadi disebabkan itu kami memilih untuk membawa Exists bersama peminat ke Tanah Suci. Insya-Allah mereka berpeluang untuk bersama dengan Exists sekitar 10 hingga 12 hari. Pelbagai program akan diadakan di sana nanti. Selalunya pihak mutawif akan memberi taklimat, jadi di situ peminat akan bersama dengan Exists dan berpeluang untuk makan, solat dan  mendengar ceramah bersama mereka. 

AHMAD FAWZY (empat dari kiri) dan wakil Darmina Revolution bergambar kenangan bersama Exists yang akan mengajak peminat untuk menyertai program Umrah Langkah Seiringan Exists. – SHIDDIEQIIN ZON 

“Bagi mereka yang berminat menyertai pakej umrah bersama Exists ini, kami juga ada menyediakan khidmat kursus umrah,” jelasnya. 

Sementara itu, bercakap tentang menunaikan ibadah umrah bersama, Along atau nama sebenarnya Azhrul Nasir tidak menyangka perancangan mereka untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama terlaksana. 

“Sebelum ini kami memang pernah suarakan untuk menunaikan umrah bersama pada tahun lepas. Sekiranya ada kelapangan dan masing-masing tidak terikat dengan sebarang persembahan jadi kami memang untuk menunaikan umrah bersama. 

“Tetapi, perancangan itu tidak terlaksana dan kemudian dibawa ke tahun ini. Alhamdulillah tidak sangka impian itu terlaksana apabila ada pihak yang ingin membawa Exists bersama peminat untuk menunaikan umrah.

“Saya bersyukur dan teruja apabila kali pertama hendak ke sana. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan ketika berada di sana. Saya kalau boleh hendak semua peminat Exists dapat bersama mengerjakan ibadah ini nanti,” ujarnya. 

Pakej program Umrah Langkah Seiringan Exists ditawarkan pada harga RM8,500 (bilik berempat), RM9,100 (bilik bertiga) dan RM9,500 (bilik berdua). – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok