Pelakon dan pengacara, Didie Alias menegur tindakan segelintir pemain seni terutama pendatang baharu yang sering mencemarkan nama baik industri hiburan tanah air gara-gara terpalit dengan kontroversi murahan.
Ujar Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali, 52, mereka yang mahu memasuki dunia hiburan seharusnya lebih bijak menjaga nama baik diri, keluarga, dan industri.
“Kami yang lama dalam bidang ini cuba sedaya mungkin menjaga nama baik sejak dulu hingga sekarang.
“Kalau tak mampu bawa diri dengan baik, jangan masuk dalam industri aku.
“Kena fikir impak tindakan kita, lebih-lebih lagi terhadap keluarga seperti isteri, anak, ibu bapa. Apa perasaan mereka jika kita buat sesuatu yang memalukan?” katanya kepada HibGlam.
Mengambil contoh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu memuji pembawaan diri penyanyi terbabit sejak terjun ke dunia seni.
“Siti Nurhaliza adalah contoh terbaik. Dari usia belasan tahun, dia sudah pandai membawa diri sehingga kini diiktiraf sebagai Biduanita Negara.
“Saya sendiri sudah hampir empat dekad dalam bidang seni. Walaupun ramai selebriti baharu yang lebih muda dan cantik, alhamdulillah saya masih bertahan dengan identiti sendiri,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Didie Alias x SB Parfum Diva Collection, semalam.
Didie turut menegaskan bahawa laluan untuk menjadi artis dahulu jauh lebih mencabar berbanding era media sosial kini yang boleh mempopularkan seseorang dalam tempoh singkat.
Paling penting katanya, adalah ntuk bertahan dalam industri seni, seseorang artis perlu menjaga reputasi dan tanggungjawab mereka, tidak kira popular atau tidak.
“Dulu nak masuk industri susah. Kena uji bakat, lalui pelbagai halangan. Sekarang ini, viral satu isu terus jadi pelakon atau pelawak.
“Tapi apa yang kau tinggalkan? Bukan kenangan manis, tapi kenangan pahit.
“Kesimpulannya, jangan jadi orang seni tak ada otak, pegang tanggungjawab itu tak kisahlah kau popular atau sendu,” tegasnya.
Pada majlis tersebut, Didie memperkenalkan tiga varian baharu minyak wangi dari koleksi Diva Collection iaitu Diva Scandalicious, Diva Glam, dan Diva Didie.
Koleksi tersebut hadir dengan aroma mewah yang sesuai untuk wanita moden yang berani dan sofistikated. – HIBGLAM