KRU ‘rujuk’ semula selepas 6 tahun bubar

SELEPAS enam tahun bubar, kumpulan trio KRU mengumumkan kembali bergabung sekali gus mengubat kerinduan peminat mereka.

Menurut Datuk Norman Abdul Halim, 52, keputusan untuk kembali bersatu itu dimuktamadkan sekitar Mei tahun lalu selepas melihat dua ahli lain yang juga adiknya iaitu Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim rancak berkongsi tentang muzik serta teknologi terbaharu antara satu sama lain.

“Kalau nak ikutkan pada 2018 kami memang tiada perancangan nak bubar dan konsert Gergasi KRU25 di Istana Budaya hanya nak sambut ulang tahun KRU ke-25 tahun.

“Sebenarnya tiga minggu sebelum konsert pun, Edry sudah luahkan hasrat nak bubarkan KRU sebab mahu berhijrah ke Manchester, United Kingdom.

“Saya pun terkejut mereka nak bubar tetapi ketika itu saya dan Yusry berfikir, apa lagi yang nak buat sebab semua benda sudah kami lakukan. Namun pada Mei tahun lalu secara rasmi kami bergabung semula,” katanya selepas sidang akhbar pelancaran single terbaharu, Voodoo semalam.

Sementara itu, Edry berkata, penyatuan semula itu juga berlaku disebabkan permintaan peminat yang mahu melihat mereka kembali bersama.

“Kami ‘rujuk’ semula ini pun tiada tekanan sangat.

“Sekitar 2022, Yusry mula rancak berkongsi pelbagai konten tentang teknologi, idea muzik baharu dan banyak mencuba pelbagai eksperimen.

“Kami tak nafikan hasrat peminat yang sentiasa berharap KRU bersatu semula dan mahu lagu baru pun antara sebab utama. Pengorbanan saya yang sanggup berulang alik KL-Manchester dalam tempoh setahun ini juga faktor utama,” ujarnya.

Terdahulu, KRU pada April 2018 mengumumkan pembubaran kumpulan itu selepas konsert terakhir mereka yang berlangsung pada 6 Mei tahun sama.

Keputusan tersebut merupakan kata sepakat di mana ketiga-tiga mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk meneruskan kerjaya masing-masing. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok