PAHIT untuk ditelan namun Pengadilan Agama Jakarta Selatan muktamad memutuskan pernikahan pasangan selebriti, Rizky Febian dan Mahalini Raharja pada 10 Mei lalu tidak sah di sisi undang-undang.
Humas Pengadilan Agama Jakarta Selatan, H. Suryana, berkata, satu rukun nikah tidak dipenuhi iaitu berkaitan dengan status wali pernikahan.
Dari hasil pemeriksaan, majlis hakim mengambil keputusan pernikahan yang dilaksanakan mendapati salah satu rukun nikah tidak terpenuhi.
“Salah satunya adalah wali yang menikahkan mereka bukan wali yang berhak,” katanya kepada media, hari ini.
Menurut Suryana, wali nikah yang menikahkan Rizky dengan Mahalini adalah seorang ustaz tetapi pemilihan individu terbabit bertentangan peraturan ditetapkan dalam undang-undang.
“Setelah dia (Mahalini) mualaf kemudian bernikah, secara automatik memang orang tua pengantin perempuan juga bukan muslim, di situ bererti walinya bukan orang tuanya.
Dalam persidangan ditemukan fakta ternyata yang menikahkannya adalah seorang ustaz dan dia menikahkan dengan menamakan dirinya sebagai wali hakim,” ujarnya.
Menurut Suryana lagi, berdasarkan peraturan Menteri Agama Nombor 30 Tahun 2005, wali hakim yang sah adalah pihak yang persetujui Menteri Agama dan didelegasikan pelaksanaannya oleh ketua setempat.
Menurut Undang-Undang Perkawinan di Indonesia, wali dalam pernikahan terbahagi kepada dua jenis, yakni wali nasab dan wali hakim iaitu wali nasab adalah wali yang memiliki hubungan saudara dengan mempelai perempuan.
Wali hakim pula digunakan dalam kes tertentu seperti pengantin perempuan tidak memiliki wali nasab atau wali nasab tidak diketahui keberadaannya.
Namun, dalam kasus Rizky dan Mahalini, majlis hakim menemukan bahawa proses pengangkatan wali hakim tidak memenuhi kriteria undang-undang.
Hal ini yang menjadi dasar keputusan bahawa pernikahan mereka tidak sah secara hukum,” ulasnya.
Suryana menegaskan keputusan pengadilan dilakukan mengikut prosedur undang-undang iaitu fakta persidangan dan aturan perundangan sedia ada.
Kini Rizky Febian dan Mahalini harus mengikuti langkah berikutnya sama ada membuat semakan semula atau menjalani proses pernikahan sekali lagi mengikut ketetapan perundangan.
Terdahulu, pasangan terbabit bernikah pada awal pagi Jumaat pada 10 Mei lalu di Hotel Raffles, Jakarta, manakala resepsi berlangsung di hotel sama sebelah malamnya.
Perjalanan cinta pasangan yang berbeza agama itu bermula pada 7 Februari 2022 sebelum memutuskan untuk bertunang pada 7 Mei 2023.
Mahalini yang berasal dari Bali dan beragama Hindu disahkan bapa Rizky juga pelawak Sule sudah memeluk agma Islam sebelum berkahwin. – HIBGLAM