Jenazah Ahmad Nawab selamat disemadikan

JENAZAH maestro muzik legenda Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pukul 11.15 pagi tadi.

Pengebumian pemilik nama sebenar Ahmad Khan Nawab Khan, 92, itu berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan selebriti dan peminat  memberikan penghormatan terakhir.

Antara selebriti yang menziarah ialah Hetty Koes Endang, Datuk Chuari Selamat, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Yusof Haslam, Ramlah Ram, Adlin Aman Ramli dan ramai lagi.

Terdahulu, jenazah dimandi dan disolatkan di Surau Al-Tarbiyyah Al-Islamiah, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Semalam, Allahyarham Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang semalam.

Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Allahyarham Ahmad Nawab yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 6 April 1932, dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan seperti Allahyarham Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid.

Allahyarham Ahmad Nawab juga mencipta lagu untuk bintang Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok