SYAFIE NASWIP, sepotong nama yang tidak pernah pudar dalam dunia seni tanah air. Dia merupakan simbol bakat muda yang telah membina legasi tersendiri sejak usia remaja.
Kariernya mula menyerlah menerusi filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad, yang bukan sahaja membuka mata dunia terhadap potensi lakonannya, tetapi turut meletakkan asas kukuh untuk dirinya terus mekar dalam industri hiburan.
Dengan karisma tersendiri dan kemampuan luar biasa menghidupkan setiap watak, Syafie dikenali sebagai pelakon yang mampu menyentuh jiwa penonton melalui emosi tulus dan lakonan penuh seni.
Namun, di sebalik segala kegemilangan tersebut, dia kekal dengan sifat rendah diri dan pegangan prinsip yang teguh.
Kini, selepas melangkah ke alam perkahwinan, Syafie lebih berhati-hati dalam menjaga batas pergaulan, selaras dengan nilai dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Perubahan ini mencerminkan kematangan dirinya bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga sebagai individu yang mengutamakan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Ujar pemilik nama sebenar Muhammad Syafie Naswip itu, meskipun isterinya, Nur Afiqah Ishak, tidak menetapkan sebarang syarat, namun dia sendiri memilih untuk menjaga batas agar tidak mengguris hati wanita yang disayanginya.
Kalau dahulu ada perkara yang saya boleh buat, sekarang dah tak sesuai. Bukan isteri melarang tetapi saya sendiri menetapkan batas. Bila jumpa wanita, cukup bersalaman, tak perlu lagi berpelukan.
Kalau dalam lakonan, ikut keperluan. Berpegangan demi menuntut keperluan situasi babak mungkin tiada masalah. Tapi untuk adegan keterlaluan, kita guna teknik kamera yang sesuai,” katanya kepada Pose.
Sejak mendirikan rumah tangga pada 23 Disember tahun lalu, aktor berusia 32 tahun itu bersyukur dengan limpahan rezeki tanpa henti dalam kerjaya seni.
Mana tidaknya, tahun ini sahaja, dia telah menyelesaikan empat penggambaran filem, jumlah yang jauh lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Biasanya saya terima satu atau dua filem setahun, tetapi tahun ini sahaja saya sudah jalani empat penggambaran.
“Alhamdulillah, rezeki selepas berkahwin. Saya terbuka menerima tawaran asalkan skrip dan pengarahnya bagus,” luahnya tenang.
Bercakap tentang filem terbaharu dibintanginya berjudul Tegkang, Syafie bergandingan dengan beberapa pelakon baharu, kebanyakannya berasal dari kaum Kelabit di Sarawak yang pertama kali beraksi di hadapan kamera.
Kendatipun sudah berpengalaman dalam dunia lakonan, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke–25 (FFM25) itu memilih untuk tidak bersikap mendabik dada atau berasa hebat di set penggambaran.
“Mereka tahu saya seorang pelakon, namun saya minta jangan fikir tentangnya sebab nanti saya pun akan terganggu.
Saya tak mahu timbul siapa lebih bagus atau tidak dan biar sama-sama bermula daripada bawah. Saya pun banyak belajar perkara baru daripada mereka,” jelasnya panjang lebar.
Selain Syafie, Tegkang menampilkan pelakon asal kaum Kelabit seperti Hezekiah Asim, Pun Ratu Aran, dan Lian Tarawe.
Filem arahan Josh Nawan itu bakal membawa penonton menyelami budaya dan tradisi masyarakat Kelabit di Bario, Sarawak.
Mengangkat keindahan alam serta budaya unik, Tegkang yang bermaksud ‘pelangi’ dalam bahasa Kelabit itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 November 2024. – HIBGLAM