‘Zaman Zack, Azura saya baru 23 tahun’

BAKAL mengembalikan momen 40 tahun lalu di pentas konsert Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, penyanyi Datuk Jamal Abdillah menyifatkan peluang tersebut sesuatu yang sungguh mencabar memandangkan usianya kini sudah mencecah 65 tahun.

Sungguh pun begitu, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd. Ali berkata, persembahan bertemakan era 1980-an itu diharap mampu menjadi kenangan manis sehingga ke akhir hayat buat semua, khususnya peminat.

“Ketika zaman Zack dan Azura, saya baru berusia 23 tahun, sekarang sudah 65 tahun. Nak kembalikan zaman itu mencabar tapi insya-Allah saya akan ikut tema dan peminat juga disarankan berpakaian era 1980-an.

Apa pun saya bersyukur kerana masih diberi ruang untuk mengadakan konsert. Saya perlu sediakan lagu yang disukai ramai agar peminat puas hati dan mampu menjadi kenangan sehingga akhir hayat.

“Pemilihan lagu masih dalam perbincangan. Jumlah lagu dianggarkan sebanyak 16 buah yang akan dibahagikan kepada tiga segmen,” katanya dalam sidang media konsert di ibu negara baru-baru ini.

Mengimbau kembali fenomena filem Azura, Jamal berkata, panggilan Zack masih melekat pada dirinya hingga sekarang, terutama ketika membuat persembahan.

Ujar penghibur yang digelar Raja Pop itu, paling tidak dapat dilupakan adalah menerima berguni-guni surat daripada peminat dan satu antaranya meninggalkan kesan mendalam iaitu kiriman seorang pesakit leukemia.

“Dalam surat itu, dia ingin berjumpa saya dan kebetulan peminat wanita itu tinggal di Ipoh jadi saya pun mengajak arwah ayah temani ke rumahnya.

Saya gembira dan bersyukur dapat menunaikan hasratnya. Kami ambil gambar bersama dan saya pun ada menandatangani autograf untuknya.

“Selepas itu saya tak tahu keadaannya, cuma pada waktu itu kami hanya mampu doakan semoga urusannya dilancarkan, ” kongsinya.

SEBAGAI pelengkap Jamal bakal berduet dengan penyanyi, Wany Hasrita menyanyikan lagu Sandarkan Pada Kenangan yang pernah dipopularkan menerusi filem Azura.

Mengenai konsert anjuran bersama Live Injection dan NJ Resources di Zepp KL pada 15 Februari 2025, penganjur menyasarkan kehadiran lebih 1,700 penonton termasuk generasi muda.

Katanya, sebagai pelengkap mereka menjemput penyanyi, Wany Hasrita sebagai artis undangan bagi menyanyikan lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Buat masa ini, Wany adalah artis undangan yang telah kita bincang bersama sebab ramai artis seperti Misha Omar dan lain-lain ada banyak komitmen.

“Saya pun pernah berduet dengan Wany, jadi sudah ada keserasian antara kami. Senang bekerja dengannya,” ujarnya.

Sekitar 1984 silam, Jamal meraih populariti hebat menerusi filem romantik Azura yang dibintangi aktres versatil, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.

Filem arahan Deddy M. Borhan tersebut mencipta fenomena tersendiri malah membuatkan kedua-dua pelakon terbabit terus menjadi sebutan impak watak mereka sebagai pasangan kekasih.

Tiket konsert berharga RM360 hingga 395 dan RM7500 (combo lapan tiket) sudah dibuka untuk jualan atau layari www.live-ijection.com atau email [email protected] untuk maklumat lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok