Rizalman dilantik Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya

Usaha memartabatkan ilmu melayakkan pereka fesyen tersohor negara, Datuk Rizalman dilantik sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Menyambut baik pelantikan tersebut, Rizalman, 53, yang tidak terfikir menerima amanah tersebut bersyukur dapat berkongsi ilmu bukan sahaja dengan pelajar, bahkan pasukan tenaga pengajar dan pengurusan pusat pendidikan tersebut.

“Seperti kita sedia maklum salah satu daripada tuntutan agama kita adalah ilmu yang ada harus dikongsi dengan orang lain agar pahala kita akan terus mengalir berpanjangan.

Jadi, saya terlalu bersyukur kerana usaha saya selama ini menelaah dan mendalami ilmu-ilmu agama dan dikongsi dengan seluruh masyarakat dipandang secara positif oleh Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sejajar dengan prinsip, Rizalman akan sentiasa mengajak seluruh masyarakat bahawa setiap manusia tidak pernah terlepas daripada perlu sentiasa menimba ilmu.

“Seperti yang saya sering sebut, realitinya, kita semua (manusia) datang dari sebuah ‘universiti’ (dunia) yang sama.

Dunia adalah universiti kepada kita. Manusia adalah pelajar-pelajarnya dan saya bersyukur kerana dipilih sebagai salah seorang tenaga pembimbing,” ujarnya.

Dalam masa sama, Rizalman berharap dapat menimba ilmu sambil membimbing pelajar sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Profesor Adjung.

“Saya sedar yang dalam diri saya juga masih ada banyak kekurangan.

Justeru, bersama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya saya bukan hanya akan berkongsi ilmu yang saya ada bahkan saya sendiri akan rebut peluang untuk menimba ilmu daripada ekosistem yang akan saya sertai kelak,” jelasnya.

Selaku Profesor Adjung, Rizalman akan menjadi penasihat kepada fakulti dan jabatan dalam aktiviti program khususnya berkaitan penyelidikan serta perundingan seiring hasrat pusat pengajian tersebut.

Rizalman juga ditawarkan memberi syarahan kepakaran dan seminar kepada penuntut-penuntut serta tenaga pengajar di universiti berkenaan.

Pelantikan ini merupakan lantikan akademik kedua buat Rizalman selepas meenggalas tanggungjawab sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS) Universiti Teknologi Mara pada Ogos tahun lalu. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok