BERSIMPATI konsert Aisha Retno dibatalkan pada saat akhir, selebriti versatil Alif Satar menasihatkan penyanyi muda itu melebarkan sayap ke luar negara.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Muhammad Alif Mohd. Satar, 34, itu turut menitipkan kata-kata semangat buat Aisha agar tidak putus asa dalam bidang nyanyian hanya disebabkan ujian yang datang.
“Saya kenal Aisha, dia sangat kuat semangat dan tahu dia berbakat. Jangan patah harapan kerana ini hanya satu bonggol dalam kerjaya.
Juga tidak keterlaluan jika saya katakan bakatnya sama dengan seorang penyanyi yang dahulu pernah ke Amerika Syarikat (AS). Waktu dia sama-sama pergi ujibakat dengan saya, dia tidak dipilih tetapi di AS dia meletup.
“Saya nampak mungkin Tuhan mahu dia keluar dahulu baru masuk Malaysia balik. Kita tidak tahu,” katanya kepada HibGlam diMajlis Pelancaran Gold Bar & Dinar di GB Gold, hari ini.
Pelantun lagu Sesungguhnya Aku itu turut berharap penyanyi berusia 24 tahun berkenaan menghasilkan album supaya lebih yakin untuk mengadakan konsert pada masa akan datang.
Kalau saya boleh bagi nasihat yang jujur mungkin tunggu satu album dihasilkan dahulu baru seronok untuk dipersembahkan.
“Kepada Aisha, semoga dia tidak putus asa, perjalanan ini terlalu panjang untuknya,” ujarnya.
Selain itu, Alif menyifatka isu menimpa Aisha adalah sesuatu yang normal dan tahu wanita terbabit akan bersinar suatu hari nanti.
“Aisha Retno seorang penyanyi yang sangat berbakat. Bakat saya dibandingkan dengannya mungkin di hujung jari. Dia boleh menyanyi, main gitar, menari, rap dan menyanyi lagu Korea.
Saya akan bayar hanya untuk tengok persembahan dia, sangat berbakat.
“Benda begini ambil masa, saya pun lalui banyak perkara kalau setakat tiket tidak terjual, saya pernah kena ‘boo’ hampir 3,000 penonton.
“Saya pasti masanya akan sampai bila dia sudah bersedia. Artis seperti dia kalau nyanyi ‘cover’ pun orang pergi tengok cuma mungkin ada kesilapan teknikal perancangan pemasaran,” tuturnya.
Kelmarin, penganjur Kharisma Music International mengumumkan pembatalan konsert Malam Sutera Aisha Retno yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 November ini berikutan jualan tiket kurang memberangsangkan.
Aisha turut memaklumkan bahawa pihak penganjur enggan berbincang bagi mencari solusi agar konsert tersebut dapat diadakan. – HIBGLAM