SENTIASA menjaga langkah agar tidak tersasar, perkara paling digeruni penyanyi Siti Nordiana sepanjang lebih dua dekad memperjuangkan bakat adalah terpalit kontroversi.
Status ibu tunggal yang digalas sejak 15 tahun lalu turut membuatkannya sentiasa menjaga perilaku agar tidak membuka ruang kepada pihak lain menabur fitnah.
Pada usia hampir ke garisan 40, dia berharap dapat menikmati hidup tenang tanpa dihimpit kisah panas.
Begitupun, pemilik nama lengkap Siti Nordiana Alias yang mesra disapa Nana melihat dua perspektif berbeza antara kontroversi dan sensasi.
Penerima trofi Artis Sensasi Popular kategori Ekstra Tonton Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Ke-36 berkenaan mengakui kemenangan itu mengejutkannya.
Namun gelaran sensasi yang diraih dilihat dari sudut positif sekali gus menandakan orang ramai masih mengikuti perjalanan kerja lakonan dan nyanyiannya.
“Sebenarnya saya terkejut kerana ini kali pertama memenangi kategori itu yang dikatakan cukup sengit, apatah lagi masih relevan sehingga dicalonkan.
Rasa macam tidak percaya kerana julung kali saya menang kategori Artis Sensasi Popular. Terfikir juga dalam hati sama ada saya ini sensasi sangatkah?
“Apa pun saya melihat sensasi lebih kepada sisi positif berbanding kontroversi yang lebih menjurus kepada perkara negatif. Jadi, saya ucap terima kasih kepada peminat yang mengundi,” katanya.
Pada masa sama, anak jati Negeri Sembilan itu tidak menolak kejayaan merangkul trofi terbabit mempunyai kaitan dengan kontroversi yang pernah menimpanya sebelum ini.
“Ketika dimaklumkan saya menjulang trofi tersebut, saya tercari-cari di mana sensasinya diri ini sampai banyak perkara bermain dalam fikiran.
Mungkin ada kaitan dengan kes saya sebelum ini. Barangkali juga kerana saya muncul dalam program realiti yang mengingatkan peminat lama kepada saya.
“Jadi, mungkin semua yang saya sebutkan ini menghimpunkan peminat saya. Itu membuatkan mereka undi saya untuk mengungguli kategori ini,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, penyanyi lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit itu terpalit isu panas apabila bertindak memfailkan saman fitnah bernilai RM2.5 juta terhadap lima individu.
Bagaimanapun, kes saman tersebut dapat diselesaikan secara baik selepas dia bersama kesemua individu terbabit sepakat berbincang.
Enggan berlama-lama menyentuh kontroversi lampau, perbualan beralih kepada perkongsian pentas dengan rakan seperjuangannya, Tomok menyanyikan lagu popular mereka sepanjang lebih 20 tahun dalam industri muzik.
Konsert Memori Mungkin Berulang anjuran syarikat Tomok iaitu Popsicle Records itu bakal berlangsung pada 1 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Siti Nordiana mengakui bersetuju untuk menjadi rakan konsert Tomok selepas menerima pelawaan sahabatnya itu yang berhajat menganjurkan konsert bersama-sama.
“Ini satu peluang yang tidak wajar disia-siakan kerana merupakan antara hadiah terbaik buat peminat yang terus menyokong karier kami sejak awal 2000 sehingga sekarang.
Saya juga tidak menyangka lagu duet dengan Tomok diterima ramai sekali lagi cetus fenomena baharu untuk industri muzik masa kini yang dikelilingi generasi Z.
“Apa-apa pun saya bersyukur kerana lagu Memori Mungkin Berulang menerima sambutan luar jangka terutama daripada anak-anak muda,” ujarnya dalam nada teruja.
Menurutnya, mereka mahu mengimbau kenangan lagu duet bersama Allahyarham Achik termasuk Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih.
“Banyak memori yang bakal kami imbau semula pada konsert itu nanti yang tentu sahaja mampu menghimpunkan ramai peminat kami termasuk penggemar tegar Allahyarham Achik.
Apabila Tomok mengemukakan perancangan projek tersebut, saya berasa sangat teruja, apatah lagi ini peluang memperkenalkan seleksi hit malar segar kepada Gen Z.
“Memang banyak yang mahu kami ketengahkan buat halwa telinga khalayak tapi kita tunggu kejutan nanti,” kongsinya menutup bicara. – HIBGLAM