DALAM industri hiburan Korea, kehidupan selebriti sering kali dikaitkan dengan kemewahan dari kereta mahal hingga gaya hidup eksklusif.
Namun, ada sebilangan artis memilih kelainan dengan berjalan kaki ke lokasi penggambaran, mencerminkan sisi rendah hati serta usaha menjalani kehidupan biasa di sebalik kemasyhuran mereka.
Pilihan itu bukan hanya mencerminkan kesederhanaan, malah memberi inspirasi kepada peminat untuk turut menghargai gaya hidup sihat dan aktif.
Tidak ramai artis yang memilih gaya hidup sederhana sebegitu, namun bagi segelintir selebriti, langkah tersebut juga satu cara menghargai momen kehidupan biasa.
Kesungguhan berjalan kaki ke set kerja ini juga menjadi simbol disiplin dan kerendahan hati, walaupun dilimpahi populariti.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat artis Korea yang memukau dengan sikap sederhana mereka, memilih jalan kaki ke lokasi penggambaran, membuktikan bahawa kemasyhuran bukan penghalang untuk menjalani hidup secara ringkas.
Park Bo-gum
Siapa tidak mengenali pelakon Park Bo-gum yang bukan sahaja disukai kerana kemampuannya membawa pelbagai watak tetapi juga dek sikap rendah hatinya.
Meskipun memiliki pelbagai pilihan kenderaan, aktor berusia 31 tahun itu kerap berjalan kaki ke set penggambaran jika lokasi berdekatan.
Langkah sederhana itu dilakukan bukan sekadar untuk menjaga kesihatan, tetapi juga sebagai cara menenangkan fikiran.
Dalam beberapa temu ramah, jejaka tampan itu menyatakan bahawa berjalan kaki membantunya mendapatkan inspirasi dan ketenangan sebelum memasuki set.
Berada di tengah-tengah kehidupan bandar Seoul membolehkannya lebih memahami watak yang dilakonkan dan dalam masa sama membantunya untuk merasa lebih dekat dengan peminat dan orang awam di jalanan.
IU
Penyanyi dan pelakon popular, IU terkenal bukan sahaja kerana bakat muzik dan lakonannya, tetapi juga gaya hidup sederhana.
Tidak hairanlah jika aktres jelita itu sering dilihat berjalan kaki ke set penggambaran, terutama ketika lokasi tidak terlalu jauh dari tempat penginapan.
Bagi wanita berusia 31 tahun itu, berjalan kaki bukan sekadar senaman, tetapi juga satu bentuk meditasi dan persediaan mental sebelum memulakan kerja malahmemberikan waktu untuknya mengimbangi kesibukan hidup sebagai selebriti dengan momen tenang dalam kehidupan biasa.
Pelantun lagu Good Day itu juga sering kali disapa peminat sewaktu berjalan, menjadikannya lebih mesra dan mudah didekati.
Nam Joo-hyuk
Aktor hebat, Nam Joo-hyuk juga tidak terkecuali daripada senarai Kimchi Panas minggu ini.
Dia yang terkenal dengan watak-watak sarat emosi itu juga turut memilih berjalan kaki ke lokasi penggambaran sebagai rutin harian.
Meski memiliki jadual yang padat, Joo-hyuk tetap mengutamakan cara hidup aktif sebagai persediaan mental dan fizikal untuk watak yang dimainkan.
Bagi pelakon berusia 30 tahun itu, berjalan kaki membantu mengekalkan stamina dan mendapatkan momen refleksi diri sebelum beraksi di hadapan kamera.
Sebagai pelakon yang sering kali perlu melakonkan watak-watak mencabar, detik berjalan kaki ini dianggap satu cara untuk menenangkan fikiran.
Menariknya, Joo-hyuk sering disapa peminat semasa berjalan, namun beliau tidak pernah berasa terganggu, malah sentiasa bersikap mesra. Kebiasaannya ini telah menjadikan dirinya lebih dekat di hati peminat yang menghargai sikap santai dan rendah hati.
Choi Woo-shik
Dikenali dengan watak-watak mencabar dalam filem dan drama, Choi Woo-shik turut memilih untuk berjalan kaki ke set penggambaran apabila berpeluang.
Pelakon serba boleh itu tidak menjadikan status selebriti sebagai alasan untuk meninggalkan amalan sihat ini.
Bagi aktor berusia 34 tahun itu berjalan kaki adalah salah satu cara menjaga stamina selain memberikan ruang untuk menghayati persekitaran sebelum masuk ke dalam watak.
Malah menerusi satu rancangan temu bual, dia menyifatkan dirinya sebagai seorang yang suka kepada alam dan pilihan berjalan kaki ini juga selari dengan usahanya mengurangkan kesan karbon.
Disiplin tersebut bukan sahaja mencerminkan keperibadiannya tetapi juga menjadi inspirasi buat ramai untuk mengamalkan kehidupan yang lebih aktif.