Ari Lasso, Vitta Dessy bercerai Februari lalu

LAPAN bulan berahsia, akhirnya penyanyi popular Indonesia, Ari Lasso mendedahkan perkahwinan yang dibina selama 25 tahun dengan isterinya, Vitta Dessy sudah berakhir pada Februari lalu.

Bekas vokalis Dewa 19 itu mengumumkan khabar tersebut menerusi hantaran dalam Instagram namun enggan mendedahkan punca perceraian mereka yang disifatkan sebagai hal dalaman.

“Jujur saya bingung untuk memulakan dan menulis apa, kerana ini bukanlah berita baik yang penting untuk diumumkan, apatah lagi dicontohi.

Jadi bermula sejak Februari 2024, saya dan Vitta Dessy sudah rasmi bercerai atas sebab yang tidak mungkin saya tulis dan jelaskan.

“Apa yang penting, kami berdua (dengan persetujuan anak-anak) bersetuju berpisah secara baik,” katanya dalam hantaran tersebut.

Menurut Ari atau nama sebenarnya, Ari Bernardus Lasso, 51, dia dan Vitta mendapatkan khidmat peguam agar perceraian itu tidak diketahui orang ramai.

“Kami ada peguam yang kami lantik bagi menguruskan hal ini tanpa sebarang kebocoran supaya ‘berita yang tidak penting ini’ tidak tersebar.

“Kerana ini adalah masalah domestik (dalaman) keluarga kami,” katanya lagi dalam hantaran sama.

Ujarnya, dia terpaksa membuat kenyataan dalam media sosial bagi menghentikan segala khabar angin yang mula bertiup.

Namun, kerana sudah agak lama, komen-komen yang ‘cukup hangat’ bertebaran di media sosial saya (yang cukup memenatkan untuk dihapuskan) dan juga di beberapa media sosial lain, semakin ‘sedikit liar’.

“Oleh itu, saya putuskan untuk menjelaskannya melalui akaun Instagram saya sahaja.

Tujuannya agar segala andaian, khabar angin dan sangkaan tidak berkembang menjadi fitnah. Kerana kami memang sudah berpisah dan menjalani kehidupan masing-masing,” kongsinya.

Begitupun, perceraian tidak melonggarkan ikatan kekeluargaan apabila dia memaklumkan hubungan bersama bekas isteri dan anak-anak tetap akrab.

“Apa yang pasti, kami baik-baik sahaja dan yang paling penting anak-anak memahami dan dalam keadaan baik-baik juga.

Satu perkara yang mungkin saya kesali adalah saya sebagai ketua rumah tangga Kristian gagal memimpin dan mempertahankan keutuhan rumah tangga kami seperti yang sepatutnya dalam Janji Perkahwinan Kristian.

“Maafkan saya, Ola Lasso, Audra Lasso, Abe Lasso dan Alessa Lasso.

Rasanya cukup penjelasan saya ini. Saya mohon maaf jika ada peminat yang kecewa kerana kami tidak dapat memberikan contoh yang baik. Ternyata kami bukan seperti yang kalian bayangkan atau media laporkan,” katanya.

Ari dan Vitta yang beragama Islam berkahwin pada Februari 1999 selepas melalui fasa mencabar kerana perbezaan agama.

Dalam sebuah video Youtube, penyanyi terbabit pernah menceritakan tentang pernikahannya dengan Vitta yang berbeza agama.

Ari mendedahkan pertemuan dengan wanita istimewa terbabit berlaku pada 1996 dan ketika itu Vitta mempunyai kekasih yang menetap di luar negara.

Namun, kesungguhan Ari Lasso mendekatinya membuatkan Vitta terpikat, sekali gus mendirikan rumah tangga biarpun ditentang keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok