Undang Abah Hayat, Dol’s Podcast diselar tak sensitif

AUDIO SIAR (podcast) yang dikendalikan pelawak Shuib, Mamat dan Fizie sekali lagi dihentam netizen kerana menjemput bekas banduan yang dikenali sebagai Abah Hayat sebagai tetamu.

Podcast yang diberi nama Dol’s Podcast itu telah mengundang Abah Hayat yang pernah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan membunuh dan mengerat mangsa kepada lapan bahagian.

Sebelum ini netizen mula menyelar Abah Hayat yang dikatakan seolah-olah bangga dengan perbuatannya dengan menulis ‘kerat 8’ pada bahagian bio dalam akaun TikTok miliknya.

Menjengah ruangan komen Instagram Shuib, ramai netizen kesal dengan tindakannya mengundang Abah Hayat.

“Lebih baik padam sahaja hantaran ini. Orang semua pandang negatif bukan positif. Nanti keluarga anda semua kena kecam. Orang cakap podcast ayah kau jemput pembunuh,” komen salah seorang netizen.

Kenapa nak popularkan bekas pembunuh? Jangan pelik kalau lepas ni kes jenayah meningkat sebab ada orang yang akan popularkan mereka,” komen seorang lagi netizen.

“Rajin-rajinkanlah membaca fakta kes. Sudah la membunuh guna alasan khayal sebab ambil ganja. Itu pun boleh dijemput sebagai teramu podcast. Sampah betul pencipta kandungan zaman sekarang. Sanggup lakukan apa sahaja untuk raih perhatian masyarakat. Tak sangka selebriti pun guna cara yang sama. Kesian anak bini dapat ketua keluarga macam ini,” komen seorang lagi.

Netizen turut meminta agar pengendali podcast tersebut bersikap lebih sensitif dan memikirkan keadaan keluarga mangsa yang pastinya sedih dan kecewa seandainya mereka menonton.

Difahamkan episod podcast bersama Abah Hayat tersebut akan disiarkan pada hari Jumaat ini di saluran YouTube Shuib Channel.  Terdahulu kisah Abah Hayat atau nama sebenarnya Khairul Anuar Zakaria, 64, mendapat perhatian ramai selepas dia mula aktif dalam aplikasi TikTok.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok